Ibnu Sina Osman, 40, berkata, selepas ibunya Hawa @ Asma Ali menghidap penyakit strok pada tahun 2018, dia membuat keputusan untuk mengusahakan makanan tradisi itu supaya keunikan resipinya tidak hilang begitu sahaja.
"Sebenarnya untuk mewarisi resipi ibu saya sejak tahun 1986 ini bukan mudah kerana perlu pastikan kombinasi pedas, masam, manis dan wangi durian itu dirumus dengan teliti.
"Saya dan isteri Che Norhafiza Che Razali, 36, hampir lapan kali cuba buat resipi ini... bila ibu rasa tidak kena dengan kehendaknya, kena buat lagi sampai betul-betul menepati cita rasa yang sebenar," katanya ketika ditemui pemberita di kediamannya di Kampung Bunut Payong, di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia mula serius mengusahakan perniagaan itu ketika penularan wabak COVID-19 pada tahun 2020, yang menyebabkan rakyat di negara ini perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan bekerja dari rumah.
"Banyak juga cabaran yang perlu saya tempuh untuk hasilkan produk ini supaya boleh menembusi pasaran tempatan terutama dari segi pembungkusan, keperluan bahan seperti durian dan ketahanan rasa yang boleh kekal lama sehingga terpaksa mengambil kursus secara peribadi di Klang, Selangor.
"Alhamdulillah, berkat usaha kami dan bantuan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), produk ini sudah terjual di seluruh Semenanjung dengan harga yang cukup berpatutan iaitu RM13 sebotol," katanya yang turut dibantu dua lagi pekerja.
Ibnu Sina berkata, sekilogram isi durian diperlukan untuk menyiapkan 50 botol sambal budu, malah hampir 450 botol boleh disiapkan dalam tempoh seminggu dan permintaan dijangka meningkat pada bulan Ramadan ini.
Sementara itu, pekerja swasta, Wan Zakaria Wan Abu Bakar, 43, yang merupakan pelanggan tetap Sambal Budu Durian berkenaan berkata, dia tidak mahu merasa jenama lain selepas diperkenalkan produk itu kepadanya, kerana ia sangat berbeza dari segi rasa, harga dan kualiti. - BERNAMA
