Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, itu menjadi nada utama yang ditekankan Malaysia sepanjang kepengerusiannya tahun ini.
Mohamad berkata demikian selepas mesyuarat bilateral bersama rakan sejawatannya dari Thailand, Maris Sangiampongsa di sela Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN di sini hari ini.
Sesi yang berlangsung pada 18 dan 19 Januari itu menyaksikan penyertaan Menteri Luar dan pegawai kanan dari kesemua 10 negara anggota ASEAN, serta Timor Leste selaku negara pemerhati.
“Melihat keadaan geopolitik dan geoekonomi di seluruh dunia sekarang, saya rasa adalah satu pembaziran jika ASEAN tidak bekerjasama.
“Itu mengapa kami memilih keterangkuman dan kemampanan sebagai tema kami pada tahun ini. Kita perlu inklusif. ASEAN perlu bersama,” kata Mohamad.
Beliau turut dijadual mengadakan mesyuarat bilateral bersama Menteri Hal Ehwal Luar Negeri II Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof pada Sabtu.
Bagaimanapun butiran perbincangan mesyuarat-mesyuarat tersebut tidak didedahkan.
Sementara itu, Sangiampongsa ketika ditanya mengenai perbincangan tersebut, hanya menekankan keperluan untuk tindakan segera dan penyelesaian praktikal.
“Apa yang saya bincangkan dengan (Datuk Seri Mohamad Hasan) ialah kami mahu menghasilkan sesuatu yang sangat nyata.
“Jika boleh, kami mahu mencapai sesuatu yang nyata dalam masa terdekat, kita tidak perlu tunggu sehingga akhir tahun.
“Sekurang-kurangnya sewaktu kepengerusian Malaysia, perlu ada sesuatu yang ketara,” katanya.
Sesi pemukiman tahun ini dijangka didominasi perbincangan mengenai perkembangan global terkini, termasuk krisis di Myanmar, ketegangan geopolitik dan cabaran-cabaran lain yang memberi kesan kepada keamanan dan kestabilan ASEAN.
Turut menjadi tumpuan dalam agenda tahun ini adalah tindakan susulan kepada keputusan-keputusan yang telah dicapai dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan di Vientiane, Laos pada Oktober 2024.