Ibu Muhammad Sufi, Noraini Ishak, 71, berkata, pembedahan yang bemula jam 8.30 pagi dan selesai pada 1 tengah hari dan anaknya dalam keadaan stabil dan masih memerlukan penjagaan rapi di hospital.
"Doktor maklum pada mak cik sekiranya saluran darah di kepalanya nampak baik mungkin beberapa hari lagi anak mak cik akan dibenarkan keluar hospital, tapi sekarang ini memang dia perlu dijaga.
"Doktor juga nasihatkan dia tidak diganggu ketika ini, doktor juga bagi tahu tidak boleh tanya dia macam-macam atau temuramah dia lagi, takut ganggu proses penyembuhan dia," katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Rabu.
Noraini berkata, selepas berita anaknya tular di media sosial sebelum ini, keadaannya agak sedikit terganggu menyebabkan dia menjadi gelisah dan bimbang.
"Sekarang ini saya jaga dia di wad tapi saya ada upah seorang penjaga untuk dia, selepas dia sedar dia cuba nak tarik tiub, sekarang ini doktor nasihatkan agar dia banyak berehat.
"Kalau diikutkan saya nak simpan dulu telefon sebab tak mahu dia berhubung dengan sesiapa, tapi saya rasa kesian, kita doakan dia cepat sembuh," katanya.
Dalam masa sama, Noraini turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu termasuk orang ramai yang membuat tempahan untuk membeli daging salai.
Astro AWANI sebelum ini melaporkan Muhammad Sufi yang merupakan seorang duda dan mempunyai seorang anak mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyampaikan sumbangan berjumlah RM15,000, setelah dia memuat naik kandungan di aplikasi TikTok menjual daging salai bagi mencari dana untuk menjalani pembedahan kelima bagi memasang implan berkenaan.
Muhammad Sufi sebelum ini pernah koma selama lebih sebulan dan kehilangan separuh tempurung kepala setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya di Tanah Merah, di sini, dua tahun lalu.
Pembedahan memasang implan tempurung kepala Muhammad Sufi pada asalnya dijadualkan pada 9 Mac depan namun prosedur itu dipercepatkan.
Muhammad Sufi yang bertugas sebagai fisioterapi di HSB dilaporkan berkata, dia terpaksa menghentikan sementara perniagaannya kerana perlu memberi perhatian terhadap urusan rawatan dan perubatan.
