Sultan Nazrin, yang juga Canselor UM, berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat itu kepada Erdogan dalam satu Istiadat Konvokesyen Khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
“Dengan kuasa yang diberi kepada Beta, maka Beta kurniakan kepada Tuan Yang Terutama Recep Tayyip Erdogan, Ijazah Kehormat Doktor Hubungan Antarabangsa,” titah Baginda dalam majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir, dan Naib Canselor UM, Professor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.
UM dalam siaran media sebelum ini berkata, penganugerahan ijazah itu bagi merupakan satu penghormatan tertinggi serta pengiktirafan terhadap sumbangan Erdogan dalam diplomasi global dan perundingan antarabangsa.
Terdahulu, Erdogan tiba di sini bagi memulakan lawatan rasmi dua hari ke Malaysia.
Pesawat yang membawa Erdogan mendarat di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2.10 petang.
Ketibaan beliau yang diiringi Wanita Pertama Turkiye Emine, disambut oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau dijadualkan untuk mengadakan perbincangan dengan Anwar, dengan intipatinya merangkumi isu dua hala, serantau dan antarabangsa, yang akan mengukuhkan lagi perkongsian strategik Malaysia-Turkiye.
Lawatan itu juga akan menyaksikan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU), diikuti dengan sidang media bersama.
Lawatan Erdogan akan diakhiri dengan Forum Perniagaan Malaysia-Turkiye, mencerminkan komitmen bersama antara kedua-dua negara dalam memperkukuh perkongsian ekonomi.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)