KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli ke  Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini bagi melawat keluarga wanita yang ditemukan meninggal dunia disyaki mati dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur pada Khamis.

Baginda turut kelihatan menenangkan Mohammad Afiq Akhmal Nudin, 31, suami kepada mangsa, Allahyarham Norshamira Zainal, 37.



Semalam mayat Norshamira ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.



Siasatan lanjut pihak polis bersama pakar patologi forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh wanita itu.



Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman dalam satu kenyataan memaklumkan, identiti suspek sudah dikenal pasti dan kini pihak polis sedang giat mengesan lelaki berusia 37 tahun itu yang menetap di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.