SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berkenan berangkat ke Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri Selangor Tahun 1446H/2025M di sini pada Jumaat.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Shah Alam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dalam sembah ucapan pengumuman keputusan memaklumkan Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran peringkat negeri yang diadakan bermula 4 Feb hingga hari ini melibatkan seramai 52 peserta dari seluruh Selangor.

"Peserta-peserta adalah dalam kalangan mereka yang terpilih di peringkat daerah, kemudian bakat mereka terus diasah dan disaring di Akademi Literasi Al-Quran Selangor (ALAS) bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran mereka sebagai persediaan menyertai Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran," katanya.

Sementara itu, Khairul Zaki Razali, 44, dinobatkan selaku Johan Tilawah Al-Quran dan dipilih sebagai peserta terbaik keseluruhan sekali gus membawa pulang RM20,000, plak kemenangan berserta sijil.

Peserta terbaik keseluruhan hafazan al-Quran daripada juzu' 1 hingga 30 pula dianugerahkan kepada Humairourrohman Mastor, 22, yang menerima RM15,000, plak kemenangan dan sijil.

Kedua-kedua pemenang terpilih mewakili Selangor ke pertandingan tilawah dan hafazan peringkat kebangsaan yang dijangka diadakan pada 24 April hingga 3 Mei di Perlis.

-- BERNAMA