KUALA LUMPUR: Surah Al-Sajdah dipilih pada program Malaysia #QuranHour yang diadakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2022.
Program yang dijalankan serentak di seluruh negara hari ini menyaksikan sebanyak 1,894 lokasi didaftarkan untuk penganjuran program, selain satu lokasi di luar negara iaitu Brunei.
Di PUTRAJAYA, kira-kira 3,000 jemaah hadir bagi mengimarahkan program Malaysia #QuranHour di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin selepas dua tahun program itu dijalankan secara sederhana disebabkan penularan wabak COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) Marhaini Yusoff berkata program bertemakan 'Malaysia Bersujud: Keluarga Malaysia Teguh Bersama' berjaya menarik peserta dari seluruh negara untuk bersama-sama menghayati surah Al-Sajdah sebagai satu solusi untuk mengatasi kesombongan dalam diri insan.
Program yang bermula pada 12 tengah hari itu dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah, Al-Baqarah ayat 1 hingga 5, diikuti Surah Al-Sajdah dengan bimbingan Qari Wan Fakhrul Razi Wan Mohamad, Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan, Amirahman Abas, Abdul Khair Jalil, Ahmad Tirmizi Ali dan Ahmad Tarmizi Abdul Rahman.
Program itu turut melibatkan sesi tadabbur oleh Ketua Pegawai Penyelidik WUIF Fazrul Ismail, Pegawai Khas Ketua Pengarah JAKIM Mohamad Zarifi Mohamad Daud serta pensyarah di Jabatan Usuluddin, Universiti Sultan Azlan Shah Dr Syafiq Sahimi.
Di MELAKA, lebih 500 peserta menyertai program yang diadakan di Masjid Al-Sultan Abdullah, Masjid Tanah dengan bacaan surah Al-Sajdah dipimpin Qari Jabatan Dakwah Jabatan Agama Islam Melaka Muhammad Khairi Maidin dan pentadabbur Dr Muhammad Arif Musa dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).
Terdahulu, program tersebut dimulakan dengan bacaan Yasin sebelum diteruskan dengan sesi motivasi al-Quran bertajuk 'Apa Matlamat Hidup' disampaikan Mohd Hakim Mohd Nor yang juga penyelaras Akademi Jiwa Hamba.
Di KEDAH, program berlangsung di Sekolah Kebangsaan (SK) Khir Johari, Sungai Petani dan disertai lebih 300 murid Tahun 1 hingga 6, hampir 40 guru dan pihak pengurusan sekolah bermula 12 hingga 12.45 tengah hari.
Ketua Panitia Pendidikan Islam Muhammad Zahir Ghazali berkata melalui program itu murid-murid dapat menyuntik semangat untuk membaca al-Quran walau di mana mereka berada selain dapat membentuk akhlak yang lebih baik.
Di PERAK, Setiausaha Rumah Ngaji @ Mawaddah Meru Ipoh Jamnah Saud berkata 60 peserta di sekitar Meru, Ipoh menyertai Malaysia #QuranHour dengan pelbagai aktiviti dilakukan antaranya jualan makanan serta perkongsian rohani yang diadakan di rumah itu.
"Program ini antara lain dapat mengeratkan ukhwah sesama kami di sekitar kawasan Meru dan dapat memberi sedikit masa buat orang ramai meninggalkan sebentar rutin harian dengan memanfaatkan masa satu jam membaca al-Quran," katanya.
Di SELANGOR, Ketua Bahagian Gerakan Membaca Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata kira-kira 150 perpustakaaan seluruh negeri melaksanakan Malaysia #QuranHour.
Di PAHANG, sambutan yang diadakan di Masjid Maahad Tahfiz Pahang, Kuantan dihadiri kira-kira 700 peserta dengan majlis disempurnakan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Dr Zulkifle Ali.
Selain surah Al-Sajdah, bacaan doa sempena sambutan Hari Kebangsaan yang akan disambut esok turut dilaksanakan sebelum program diakhiri dengan ikrar al-Quran dan solat zuhur berjemaah.
Di KELANTAN, 10 Orang Asli suku kaum Batek dari Kampung Aring 5 di Gua Musang menempuh perjalanan kira-kira 80 kilometer untuk menghadiri program Malaysia #QuranHour di Masjid Tengku Razaleigh, Gua Musang.
Raina Anjang, 53, berkata walaupun tidak mengambil bahagian dalam sesi bacaan al-Quran yang disertai lebih 3,000 orang tetapi pengalaman mendengar bacaan al-Quran serta melihat suasana di masjid berkenaan adalah kenangan tidak boleh dilupakannya.
Di JOHOR, kira-kira 600 peserta menyertai Malaysia #QuranHour Peringkat Negeri yang diadakan di Masjid Taman Industri Sri Sulong, Batu Pahat.
Pengerusi Pertubuhan Pendidikan Rumah Ngaji Negeri Johor Mohd Yusof Jamar berkata majlis itu bermula dengan bacaan doa oleh imam masjid Ahmad Hashim Sabrin disusuli bacaan dan tadabbur Surah Al-Sajdah secara beramai-ramai diketuai Guru Ta'mir Kerajaan Negeri Mohd Khalid Sujud.
DI NEGERI SEMBILAN, hampir 1,000 peserta menyertai Malaysia #QuranHour yang diadakan di Masjid Qaryah Paroi Jaya, Seremban, termasuk kakitangan agensi kerajaan dan pelajar tahfiz daripada 45 buah sekolah di sekitar daerah itu.
-- BERNAMA
Bernama
Tue Aug 30 2022

Peserta menyertai Malaysia #QuranHour dengan mengalunkan ayat suci Al-Quran dari surah Al-Sajdah yang diadakan di Perpustakaan Raja Tun Uda Seksyen 13, Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA

Meta akan mulakan ujian Community Notes di Facebook, Instagram dan Threads
Meta, syarikat induk Facebook, Instagram dan Threads, mengumumkan pada Khamis, ia akan memulakan ujian Community Notes di platformnya.

All England: Kecederaan tidak halang Pearly-Thinaah layak ke suku akhir
Pearly mempamerkan daya tahan yang luar biasa dengan mengatasi ketakutan terhadap kecederaan pada set kedua untuk melonjakkan dirinya dan Thinaah, ke suku akhir All England di Birmingham hari ini.
Donatella Versace letak jawatan sebagai Ketua Pegawai Kreatif Versace
Jawatan itu akan diambil oleh bekas Pengarah reka bentuk dan imej jenama Miu Miu, Dario Vitale berkuat kuasa 1 April 2025.
Polis sahkan ancaman senjata palsu, hospital selamat digunakan
Jabatan Sheriff Daerah San Bernardino mengesahkan menerima panggilan daripada seorang suspek lelaki yang memaklumkan dia mendengar suara dalam kepala mengarahnya untuk membunuh orang.
Constantine Tassoulas rasmi Presiden baru Greece
Tassoulas, 65 tahun, menggantikan Katerina Sakellaropoulou yang penggal lima tahunnya tamat pada awal Mac lalu.
NHS England dimansuhkan, elak pertindihan
Badan bebas, Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) Englands dimansuhkan susulan penyususnan semula yang ketat di bawah kepimpinan baharu.
Pemimpin masyarakat disaran bantu perjelas dasar kerajaan
Pemimpin masyarakat perlu membantu dalam memperjelaskan dasar dan kejayaan yang dicapai oleh Kerajaan MADANI kepada rakyat.
Satu daripada 3 kanak-kanak Malaysia alami masalah obesiti
Laporan NHMS menunjukkan satu daripada tiga kanak-kanak Malaysia mengalami masalah lebihan berat badan atau obesiti.
Elaun pelatih PLKN digantikan elaun perjalanan berstruktur
Kerajaan telah memutuskan untuk menggantikan pemberian elaun harian sebanyak RM8 kepada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dengan elaun perjalanan yang lebih berstruktur.
Jho Low masih dalam senarai permohonan notis merah INTERPOL
Kementerian Dalam Negeri menegaskan permohonan notis merah kepada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Jho Low masih lagi aktif dan berkuat kuasa sehingga hari ini.

Surah Al-Sajdah dipilih untuk program Malaysia #QuranHour
Surah Al-Sajdah dipilih pada program Malaysia #QuranHour yang diadakan bagi menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan 2022.