KOTA BHARU: Seorang suri rumah dijatuhi hukuman penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya anak rakannya yang berusia dua tahun sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Hakim Zulkifli Abllah menjatuhkan hukuman itu terhadap Nur Intan Baiduri Hassim, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan itu dan memerintahkan hukuman penjara berkuat kuasa pada tarikh tangkap 19 Nov 2023.

Mahkamah turut mengarahkan ibu kepada empat anak itu menjalani khidmat masyarakat selama 50 jam agregat dan dikenakan bon berkelakuan baik dengan cagaran RM3,000 dengan seorang penjamin.

Zulkifli juga menasihati wanita itu agar tidak mengulangi kesalahan sama.

"Kes ini adalah serius kerana melibatkan kanak-kanak yang tidak berdosa dan tertuduh pertama juga sudah pun dikenakan hukuman penjara selama lapan tahun," katanya.

Nur Intan Baiduri merupakan tertuduh kedua manakala tertuduh pertama Norhaslina Hassim telah dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.

Mengikut pertuduhan, wanita itu sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan seorang kanak-kanak perempuan berumur dua tahun enam bulan didakwa telah menganiaya kanak-kanak itu sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Jintan Gemilang, Pangkal Changgong, Machang antara 27 Okt hingga 19 Nov 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad memohon hukuman setimpal mengambil kira kecederaan dialami kanak-kanak itu.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Shaharuddin Mohamed merayu hukuman ringan atas alasan anak guamnya menghadapi masalah kewangan dan menanggung empat anak kecil setelah berpisah dengan suami.

-- BERNAMA