Pemeriksaan awal mendapati kejadian melibatkan penduduk di sekitar lokasi aduan dalam program gotong-royong yang dianjurkan bersama pihak pengurusan bangunan (JMB) penduduk perumahan berkenaan, antara jam 9 pagi hingga 3 petang, pada Sabtu lepas.
Menurut DVS Selangor, keterangan suspek diambil berdasarkan Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah Akta 593 dan kes disiasat di bawah Subseksyen 29 (1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 [Akta 772].
"Pasukan DVS Selangor turut menyita sebuah kenderaan jenis sedan Nissan Sentra, beberapa unit guni dan sangkar yang dipercayai digunakan untuk mengangkut beberapa ekor kucing seperti mana di dalam paparan video tular.
"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwaraya Negeri Selangor setelah siasatan dilengkapkan untuk mendapatkan arahan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Pada Ahad, tular di media sosial video berdurasi 37 saat memaparkan sekumpulan lelaki menangkap beberapa ekor kucing di kawasan sebuah pangsapuri di Batu 9 Cheras, dekat Kajang sebelum haiwan itu dimasukkan ke dalam guni.
Video itu turut memaparkan guni berisi kucing yang ditangkap itu kemudiannya dimuatkan ke dalam kereta dipercayai untuk dibuang di lokasi lain.
Sehubungan itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, mengesahkan menerima maklumat mengenai video tular itu, dengan dua laporan polis turut diterima pihaknya berkaitan kejadian terbabit.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)