KUALA LUMPUR: Syarikat Malaysia, terutamanya yang berkecimpung dalam sektor logistik, perlu meneroka ke peringkat serantau dengan pendekatan keseluruhan kerajaan untuk menjadi jaguh antarabangsa dalam perkhidmatan tersebut.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, perkhidmatan pengangkutan terus menjadi penyumbang utama kepada defisit perdagangan Malaysia, menunjukkan pergantungan perkhidmatan tersebut kepada pembekal logistik dan perkapalan asing untuk menyokong ekonomi dipacu eksport Malaysia.

Liew berkata, trend ini membimbangkan dan lebih banyak usaha diperlukan untuk mengubah keadaan.

"Kita harus membina imej jenama Malaysia yang boleh dipercayai dan mesra untuk memastikan penyedia perkhidmatan global Malaysia berkembang maju dalam eksport perkhidmatan," katanya dalam ucapan beliau pada majlis perasmian Persidangan Perkhidmatan 2025 (SERV25), di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, sektor baharu muncul seperti perdagangan digital, dan perkhidmatan mampan dan hijau adalah bidang yang boleh Malaysia lakukan perubahan penting di peringkat global.

"Pautan antara perkhidmatan, pembuatan dan teknologi perlu dikukuh," katanya.

Menurutnya, Malaysia mencatatkan peningkatan dalam aktiviti pembuatan, sebahagiannya disebabkan pemindahan rantaian bekalan dengan perkhidmatan berkaitan pembuatan menjadi teras kepada pembangunan yang mantap sektor perkhidmatan.

"Kita mesti berusaha gigih untuk menghubungkan kedua-dua sektor bersama-sama, dan yang lebih penting, menghubungkan pembuatan dan perkhidmatan dengan teknologi Malaysia," katanya.

SERV25 menghimpunkan penceramah dan pemimpin pemikir untuk meneroka strategi transformasi digital canggih bagi membentuk semula landskap ekonomi Malaysia. - BERNAMA