Shafiei Ismail, 64, memberitahu Mahkamah Sesyen di sini demikian ketika dirujuk kepada tiga salinan imej cek Maybank SKTT masing-masing bertarikh 14 Februari 2014, 5 Februari 2015 dan 20 Januari 2016 atas nama Azlan Man semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noralis Mat.
Menurutnya tiga cek tersebut merupakan bayaran balik bagi perjalanan Azlan dan keluarganya ke London pada 2013, 2014 dan 2015 yang dibatalkan serta diuruskan oleh syarikat berkenaan.
"Saya tidak pasti alasan perjalanan tersebut dibatalkan, tetapi berdasarkan dokumen, ia telah dibatalkan dan terdapat tuntutan pembayaran semula yang dibuat kepada Azlan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya dalam perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu, yang berdepan 10 pertuduhan berkaitan pengemukaan tuntutan palsu dan penerimaan wang hasil aktiviti haram.
Noralis: "Encik Shafiei, nyatakan bahawa terdapat tiga transaksi pemulangan wang kepada tertuduh. Boleh jelaskan pemulangan wang itu untuk apa dan mengapa?"
Shafiei: "Dia (Azlan) tempah tetapi tidak melakukan perjalanan, jadi wang tersebut perlu dipulangkan. Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Perlis meminta supaya bayaran itu dibuat ke akaun penumpang, iaitu Azlan."
Pada 21 Ogos tahun lepas , Pengarah SKTT, Alimah Omar, memaklumkan mahkamah beliau dan pengurus besar syarikat pelancongan itu, Zulkamar Abu Bakar, telah menandatangani tiga cek berjumlah RM629,395.30 atas nama Azlan sebagai bayaran pembatalan pakej percutian tersebut bagi tahun 2014, 2015 dan 2016.
Alimah, 67, menyatakan bahawa bayaran tersebut sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis.
Sementara itu, peguam Ramli Shariff yang mewakili Azlan, bertanya kepada Shafiei sama ada SUK mengenakan sebarang syarat kepada SKTT sebelum pembayaran balik percutian itu dibuat. Shafiei menjawab, "Tidak."
Azlan, 65, juga didakwa atas lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Azlan turut didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 21 April ini.
-- BERNAMA