BUKIT MERTAJAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerima 183 aduan dalam tempoh kurang sebulan, membuktikan tahap kesedaran mengenai hak kepenggunaan dalam kalangan masyarakat hari ini semakin meningkat.

Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata selain itu, ia turut didorong oleh ketangkasan penguatkuasaan menerusi pelbagai operasi termasuk Op Gempur dan Op Tiris yang dijalankan sejak awal tahun ini dalam mengekang ketirisan terutama membabitkan bekalan barangan kawalan.

Beliau berkata berdasarkan statistik sejak 1 Jan hingga semalam, daripada 183 aduan yang diterima sebanyak 68 aduan berkaitan harga barangan dan perkhidmatan, 20 aduan mengenai bekalan barang kawalan manakala 95 lagi aduan lain-lain.

"Hingga kini, kita juga telah memeriksa 4,833 premis di seluruh Pulau Pinang dan 96 kes diambil tindakan atas pelbagai kesalahan dengan jumlah sitaan RM285,683.22 serta kompaun RM16,000.

"Kita percaya pengguna mula sedar akan hak-hak mereka dan tahu KPDN boleh ambil tindakan, jadi sebab itu mereka berani tampil membuat aduan dan ia dibuktikan dengan bilangan aduan yang kita terima setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke sebuah pasar raya bagi tujuan pemantauan harga bersempena dengan pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2025 di sini hari ini.

Jegan berkata pihaknya mengambil serius setiap aduan yang diterima dan memberi jaminan akan diselesaikan dalam tempoh 14 hari.

Di samping itu, menurut beliau KPDN Pulau Pinang juga turut meningkatkan penguatkuasaan dengan bekerjasama bersama agensi lain supaya tindakan lebih bersepadu dapat diambil.

Mengenai SHMMP, Jegan berkata sebanyak 137 pegawai penguat kuasa dan 62 pegawai pemantau harga ditugaskan di lokasi-lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah barangan keperluan perayaan bagi menjalankan pemeriksaan dan penguatkuasaan untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.

SHMMP Tahun Baharu Cina 2025 berkuat kuasa hari ini hingga 2 Feb dengan 16 jenis barangan telah disenaraikan sabagai barang kawalan antaranya ikan bawal putih (berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor), udang putih, bawang putih (China), bawang merah besar import, sawi pendek/sawi Jepun, babi hidup dan daging babi.

-- BERNAMA