WWF-Malaysia berasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Gua Musang, baru-baru ini di mana Anek bin Along, seorang penduduk kampung Orang Asli berusia 59 tahun, telah maut dibaham harimau. Kami mengucapkan takziah dan simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa.
Kami juga menzahirkan rasa kecewa kerana harimau berkenaan terpaksa ditembak mati, walaupun ia
merupakan spesies yang sangat terancam. Tindakan ini bercanggah dengan komitmen yang telah diberi oleh Malaysia untuk melindungi spesies ini dengan apa cara sekali pun. Kami amat prihatin terhadap keselamatan penduduk-penduduk kampung, dan menggesa agar tindakan dipercepatkan dan langkah-langkah amalan terbaik diambil segera bagi mengelakkan kejadian kehilangan nyawa serta impak buruk lain, sama ada kepada manusia maupun harimau.
Malangnya, insiden konflik manusia-harimau bukanlah sesuatu yang luar biasa bagi negara-negara yang masih lagi mempunyai harimau. Konflik manusia-harimau berlaku apabila harimau liar bertembung dengan manusia atau haiwan ternakan penduduk yang boleh mendatangkan rasa ketakutan, kecederaan atau kematian kepada manusia, haiwan ternakan atau harimau itu sendiri.
Di Rusia, dua ekor harimau liar yang telah membunuh tiga ekor anjing di pinggiran bandar Vyazemskoye, telah dibius dan berjaya dipindahkan ke Pusat Pemulihan Utyos dengan sokongan WWF-Rusia dan ANO Amur Tiger.
Di Bhutan, konflik manusia-harimau merupakan isu kritikal kerana terdapatnya komuniti petani yang tinggal berdekatan dengan kawasan perlindungan atau hutan simpanan. Selain daripada langkah-langkah seperti menggunakan penghalau bunyi dan cahaya serta pagar elektrik, kaedah "Safe Systems” juga diguna pakai untuk menangani isu konflik manusia-harimau secara holistik dengan mengambil kira keselamatan manusia dan juga hidupan liar.
Bilangan harimau di hutan Semenanjung Malaysia kini kurang daripada 150 ekor. Namun sejak kebelakangan ini, beberapa insiden telah berlaku di mana harimau mula keluar dari habitatnya dan mendekati kawasan penempatan manusia. Berikutan peningkatan insiden sebegini, adalah sangat penting untuk kita mencari jalan penyelesaian secara holistik dalam menangani masalah konflik manusia-harimau Untuk berbuat demikian, kita haruslah memahami sifat semula jadi harimau, punca-punca yang boleh menyebabkan berlakunya konflik dan mengambil tindakan penyelesaian dengan segera.
Harimau memerlukan kawasan rayau yang luas, dan keluasan ini biasanya ditentukan oleh populasi mangsa harimau yang terdapat di kawasan tersebut. Di Malaysia dan juga negara-negara lain yang masih lagi mempunyai harimau, spesies ini menghadapi tekanan berterusan daripada pemburuan haram, dibunuh disebabkan konflik dan kehilangan habitat. Di samping itu, mereka terpaksa bersaing untuk mendapatkan ruang dengan populasi manusia yang kian meningkat dan semakin padat.
Harimau secara semula jadinya merupakan haiwan yang hidup bersendirian, melainkan ia adalah harimau betina yang mempunyai anak, ataupun yang sedang mencari pasangan. Spesies ini lebih suka menjauhkan diri daripada manusia dan memburu secara bersendirian dengan menunggu mangsanya sebelum melakukan serang hendap apabila keadaan sesuai. Harimau boleh menjadi lebih agresif apabila diancam atau sudah cedera, kerana reaksi semula jadinya adalah untuk mempertahankan diri.
Apabila kita berhenti mengancam sumber-sumber yang diperlukan untuk ekosistem terus berfungsi dan berada dalam keseimbangan, kewujudan bersama antara manusia dan hidupan liar dapat diurus dengan lebih baik. Dalam usaha kita untuk meningkatkan populasi harimau liar, kita juga perlu mencari jalan untuk menyelesaikan konflik manusia-harimau dengan lebih berkesan, bagi menjamin keselamatan komuniti yang tinggal berdekatan dengan hutan serta kejayaan usaha pemuliharaan harimau Malaya.
Tahun 2021 telah berakhir dengan penuh harapan berikutan pengumuman penubuhan Unit Jenayah Hidupan Liar oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Khas Harimau Kebangsaan dan Kumpulan Kerja Harimau Malaya (TWG) untuk mencari solusi bagi meningkatkan populasi harimau di habitat semulajadi. Bersama-sama dengan NGO lain, WWF-Malaysia telah melobi selama beberapa tahun untuk memastikan matlamat ini tercapai dan kini, kita harus terus bergerak ke hadapan dan melaksanakan fasa seterusnya, iaitu sembilan tindakan strategik untuk pemuliharaan harimau yang telah diluluskan oleh Kabinet pada Jun 2021.
Harimau Malaya kini berada di ambang kepupusan. Kita mungkin akan kehilangan harimau pada kadar yang lebih cepat daripada kemampuan mereka untuk berkembang biak. Dengan populasi harimau semakin berkurangan, peluang untuk spesies ini membiak turut berkurangan. Oleh itu, sangat kritikal untuk kita melindungi setiap ekor harimau yang terdapat di hutan negara kita.
Dalam beberapa minggu lagi, kita akan menyambut Tahun Harimau. Harapan saya adalah supaya setiap rakyat Malaysia berusaha untuk memahami sifat dan pentingnya kewujudan harimau, yang juga merupakan ikon negara. Apatah lagi, kewujudan spesies ini berkait rapat dengan kelangsungan hidup kita sendiri.
Sophia Lim
Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)
WWF-Malaysia
Kenyataan Media
Wed Jan 12 2022

Di Malaysia dan juga negara lain yang masih lagi mempunyai harimau, spesies ini menghadapi tekanan berterusan daripada pemburuan haram, dibunuh disebabkan konflik dan kehilangan habitat. - Gambar/ Bernama
Polis tumpaskan sindiket dadah, rampasan lebih RM2.6 juta
Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran dadah dengan rampasan bernilai lebih RM2.6 juta dalam empat serbuan berasingan di sekitar Johor Bahru.
Lelaki OKU mental tetak ayah diarah rujuk hospital psikiatri
Seorang lelaki yang menetak kepala bapanya dengan parang, diarah Mahkamah Sesyen Kangar untuk dirujuk ke hospital psikiatri selama sebulan.

Perkhidmatan e-filing bagi Tahun Taksiran 2024 dibuka esok
Pembayar cukai individu dan selain individu boleh mengemukakan Borang Nyata (BN) Tahun Saraan 2024 dan Tahun Taksiran 2024 melalui e-Filing mulai esok, menurut Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sritex Indonesia tutup operasi 1 Mac, lebih 10,000 pekerja diberhentikan
Gergasi tekstil Indonesia, Sritex akan menutup operasi secara kekal pada 1 Mac 2025 selepas Mahkamah Agung negara itu mengekalkan keputusan muflis.

Jangan salah guna kebebasan berhimpun untuk menipu, fitnah - PM Anwar
Anwar membidas pihak yang memainkan sentimen memperjuangkan hak orang Melayu dalam isu pembangunan bandar, namun tidak melakukan usaha semasa mentadbir negara sebelum ini.

CGS Malaysia tawar kontrak niaga hadapan kripto CME pertama di Malaysia
CGS International Futures Malaysia mengumumkan pelancaran kontrak niaga hadapan kripto CME pertama yang boleh diakses secara terbuka di Malaysia.

JAKIM siasat pempengaruh cipta kandungan menyimpang daripada ajaran Islam
JAKIM telah menjalankan siasatan terhadap beberapa pempengaruh kerana disyaki mencipta kandungan yang menyimpang daripada ajaran Islam di media sosial.

Saya sedia maafkan tapi Zulfarhan tak akan hidup kembali - Ibu
Mereka tidak menyangka mahkamah akan membenarkan rayuan kesemua tertuduh yang menyebabkan kematian anak mereka.

Tujuh inisiatif Alibaba Cloud untuk memacu agenda AI Malaysia
Alibaba Cloud memperkenalkan model, penyelesaian, dan penawaran infrastruktur kecerdasan buatan (AI) yang dipertingkatkan pada Hari Teknologi AI sulungnya di Malaysia.

PPNP didakwa duduki tanah kerajaan Pahang tanpa kebenaran sah
2. Jika sabit kesalahan, PPNP boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali, mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara.

Tangani segera konflik manusia-harimau - WWF
WWF-Malaysia berasa amat sedih dan dukacita dengan kejadian yang berlaku di Kampung Sau, Gua Musang, baru-baru ini