KUALA LUMPUR: Keputusan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan 25 peratus tarif terhadap import automotif, semikonduktor dan farmaseutikal kelak merupakan satu cabaran kepada Malaysia.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ini berikutan, daripada seluruh jumlah dagangan Malaysia dengan AS, 60 peratus adalah eksport elektrik dan elektronik Malaysia.

"Ini merupakan suatu tamparan yang hebat jika kita tidak dapat menyelesaikan perkara ini dengan segera.

"Itu sebabnya semalam saya juga menyatakan dalam dewan yang mulia ini ASEAN bercadang untuk segera mengadakan sidang kemuncak khas ASEAN AS untuk membentangkan kepada pentadbiran baharu AS (mengenai perkara berkenaan).

"Kita perlu berbincang bagaimana cara untuk memberikan pandangan daripada negara-negara dalam ASEAN untuk memastikan tarif yang dicadangkan ini tidak membebankan negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata langkah yang dilakukan oleh AS ketika ini adalah untuk 'reshoring' (amalan memindahkan kembali operasi perniagaan).

"Menerusi (reshoring), mereka mengenakan cukai tinggi ini agar syarikat-syarikat besar yang beroperasi di luar AS balik ke AS dan menubuhkan operasi di AS itu sendiri," katanya.

Menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) mengenai sejauh mana Malaysia boleh memanfaatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC- China dalam meningkatkan kerjasama ekonomi, perdagangan serta pelaburan negara dan serantau, Mohamad berkata ketiga-tiga blok ASEAN, GCC dan China perlu duduk bersama-sama untuk berbincang mengenai perkara ini.

"Ini kerana China merupakan satu negara pasaran yang terbesar. GCC merupakan negara yang mempunyai modal dan ASEAN merupakan blok negara yang mempunyai banyak sumber asli.

"Jika ketiga-tiga blok ini dapat bersama berunding, kita dapat mengembangkan ekonomi intra-ASEAN, jadikan ASEAN ini ekonomi keempat terbesar dunia pada 2030," katanya.

-- BERNAMA