MELAKA: Penggunaan teknologi terkini bidang perubatan termasuk robotik di hospital swasta di Melaka berupaya memacu sektor pelancongan kesihatan yang menjadi satu daripada subsektor penting dalam industri pelancongan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sebagai contoh, penggunaan Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di Hospital Pantai Melaka, dapat memberi peluang kepada pelancong kesihatan membuat pilihan rawatan yang lebih baik.

"Kita amat berpuas hati dengan kadar kehadiran pelancong perubatan ke Melaka untuk mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta di sini dan kebanyakan mereka dari Indonesia dan Singapura.

"Pastinya teknologi ini dapat meyakinkan lebih ramai pelancong dari negara lain mendapatkan kaedah perubatan terkini di Melaka," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Sistem Pembedahan Robotik Da Vinci Xi yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pantai Tan Yew Aik.

Ab Rauf berkata sistem pembedahan robotik itu menawarkan rawatan dalam pelbagai kepakaran perubatan antaranya urologi, ginekologi, kolorektal serta pembedahan am dan ia telah digunakan di beberapa institusi perubatan terkenal di Amerika Syarikat, Eropah, Asia dan Australia.

Menurut beliau, teknologi berkenaan berupaya meningkatkan ketepatan hirisan pembedahan (lebih kecil), mengurangkan risiko kehilangan darah, kesakitan dan tempoh pemulihan lebih cepat.

"Teknologi ini mula diperkenalkan dalam bidang perubatan pada 2014 dan ia ditambah baik hingga tahun ini...banyak negara telah membuktikan bahawa ia adalah teknologi terbaik dan selamat untuk digunakan dalam kaedah pembedahan robotik.

"Penggunaan teknologi ini memberi impak besar dalam sistem kesihatan kerana dapat menggabungkan kepakaran pakar bedah dengan ketepatan robotik dalam pembedahan," katanya.

-- BERNAMA