GEORGE TOWN: "Saya memang 'down' selepas tengok mata hitam dia naik ke atas, muntah keluar ikut mulut dan hidung."


Ringkasan AI
  • Seorang murid Tahun 5, Mohammad Fahmi, pengsan selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata ketika mengikuti Kelas KAFA di Sungai Dua, Butterworth pada Selasa.
  • Bapa mangsa, Mohammad Fakhruddin, menceritakan detik cemas apabila anaknya mula muntah, bibir hitam, dan bola mata naik ke atas, sebelum pihak ambulans berusaha menyelamatkannya dengan CPR.
  • Walaupun nadi anaknya kembali selepas usaha CPR, doktor memaklumkan keadaan kritikal dengan harapan tipis kerana otak mangsa bengkak dan darah beku, serta oksigen tidak sampai ke otak.


Demikian kata bapa kepada murid Tahun 5, Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, mengenai keadaan anaknya yang pengsan di sekolah selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata.

Mohammad Fakhruddin berkata, pada hari kejadian, dia menghantar anak sulungnya itu ke Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth pada jam 2.15 petang, Selasa.

Menurutnya, rutin menghantar anaknya itu biasanya diuruskan oleh isterinya, Nuraini Mohamad Isa, 37, namun pada hari tersebut, isterinya bersama ibunya ke Alor Setar, Kedah kerana mempunyai urusan lain.

"Pada mulanya, dia (anak) tak mahu pergi ke KAFA sebab kepenatan, namun selepas bercakap dengan ibunya, ibu dia pujuk suruh pergi juga sebab sesi persekolahan baru bermula.

"Anak saya setuju tetapi dengan syarat, beri RM3 sebagai duit sekolah.

"Saya pun sediakan pakaian dia, kemudian hantar ke sekolah dan tidak fikir apa-apa. Selepas turun dari motosikal, dia sempat bergurau dengan adiknya," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Khamis.

Bercerita lanjut, dia yang bekerja sebagai penghantar makanan berkata, ketika berehat di rumah, guru KAFA menghubunginya pada jam 3 petang memberitahu anaknya pengsan.

"Saya tak fikir apa-apa sebab ingat dia pengsan sebab cuaca panas. Saya terus bergegas ke sekolah.

"Apabila sampai, saya lihat bibir dia dah hitam, bola mata hitam dah naik ke atas. Saya tengok dia muntah dan air keluar ikut hidung.

"Pihak ambulans pun dah sampai. Mereka buat CPR (bantuan resusitasi kardiopulmonari) berulang kali dan beritahu, mereka akan cuba sedaya upaya.

"Ini kerana, nadi anak dah tak ada dan jika dalam tempoh 10 minit tak ada juga, mereka minta maaf, tak dapat bantu dah," katanya sebak.

Dia menambah, selepas mendengar penerangan daripada pihak ambulans, semangatnya terus hilang.

"Saya terduduk apabila pihak ambulans kata macam itu. Namun, setelah berusaha, akhirnya nadi anak saya ada kembali tetapi lemah.

"Selepas itu, anak saya terus dibawa ke Hospital Seberang Jaya, namun dia dipindahkan ke HPP kerana di sini ada unit rawatan rapi kanak-kanak.

"Bagaimanapun, doktor memberitahu harapan anak saya memang tipis, otak dah bengkak, ada saluran darah pecah dan terdapat darah beku.

"Doktor kata, mereka tak boleh buat apa sebab oksigen ke otak tak sampai, tak boleh buat apa-apa. Harapan sangat tipis," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamad Fahmi dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa.

Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas KAFA di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.

Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri. - Sinar Harian