GEORGE TOWN: Ibu bapa kepada murid Tahun 5 yang dilaporkan kritikal selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata memohon orang ramai terutamanya warganet tidak menyalahkan sesiapa dalam kejadian tersebut.

Mohammad Fakhruddin Mohamad Fikri, 35, berkata, tiada siapa yang mahu kejadian itu berlaku termasuk dirinya sebagai bapa dan isterinya, Nuraini Mohamad Isa.

Dia yang bekerja sebagai penghantar makanan itu cuma memohon doa daripada semua rakyat Malaysia untuk mendoakan kesembuhan anak sulungnya itu.

"Saya mohon sangat jangan salahkan sesiapa dalam kejadian ini. Bukan salah makanan, bukan salah penjual, malah bukan juga salah pihak sekolah.

"Kejadian ini tiada siapa pun mahu (berlaku). Kita makan nasi pun boleh tersedak, benda macam itu memang boleh berlaku.

"Apa yang saya perlu sekarang ini adalah doa. Doa agar ada keajaiban berlaku kepada anak saya. Itu sahaja. Saya bukan mohon wang sumbangan atau simpati, saya mohon doa sahaja.

"Mana tahu, dalam banyak-banyak yang berdoa tu, Allah angkat doa dia," katanya ketika ditemui di pekarangan Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Khamis.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Mohamad Fahmi Hafiz Mohammad Fakhruddin, 10, dilaporkan kritikal di HPP selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal berbentuk mata dalam kejadian pada petang Selasa.

Mangsa kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HPP selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika mengikuti Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, mangsa dikatakan meminta izin daripada gurunya untuk ke tandas selepas dia dikatakan tersedak.

Bagaimanapun, ketika berjalan ke tandas, mangsa rebah dan tidak sedarkan diri.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin turut memohon agar warganet berhenti menulis komen negatif di media sosial terhadap kejadian itu.

"Anak saya berada dalam keadaan tenat sekarang. Tekanan darah dan oksigen dia menurun.

"Nak selamatkan dia, memang tipis. Saya dan isteri sangat buntu dan sedih. Oleh itu, jangan lah tulis macam-macam yang negatif.

"Saya terguris sangat dengan kata-kata negatif netizen. Memang sebak, sebab bila saya baca ini, mungkin anak yang sedang koma pun akan terasa juga.

"Saya terlalu rapat dengan dia, harap netizen faham, saya tak salahkan sesiapa, saya maafkan semua yang pernah kata (negatif) dekat saya dan anak saya," katanya sebak.

Sementara itu, ibu saudara mangsa, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata, tujuan dia memuat naik hantaran mengenai kejadian yang menimpa Mohamad Fahmi adalah untuk memohon seluruh rakyat Malaysia mendoakan anak saudaranya itu.

Menurutnya, hantaran itu bukan berniat untuk menunding jari kepada mana-mana pihak termasuk pemilik kedai runcit dan pihak sekolah.

"Saya buat 'posting' itu untuk memohon bantuan orang ramai berdoa, bukan untuk menyalahkan sesiapa.

"Saya tidak salahkan kedai runcit yang menjual gula-gula itu kerana ia bukan dijual di hadapan sekolah (yang memang berniat untuk dijual kepada murid sekolah).

"Sebaliknya ia merupakan sebuah kedai runcit untuk orang awam. Sesiapa sahaja boleh datang untuk membeli. Perkara sudah nak jadi, siapa yang mampu nak tolak takdir Allah," katanya.

Penjual pastri dalam talian itu menambah, dia juga tidak berniat untuk menutup periuk nasi sesiapa dengan membuat hantaran di Facebook berhubung kejadian itu. - Sinar Harian