Menurut DOSM, peningkatan itu didorong oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+5.0 peratus), makanan (+1.2 peratus) dan bahan kimia (+1.1 peratus).
Sementara itu, terma perdagangan Malaysia meningkat 3.4 peratus tahun ke tahun daripada 114.5 mata pada Januari tahun sebelumnya.
"Harga eksport Malaysia pada Januari 2025 naik 0.3 peratus daripada 150.7 mata berbanding bulan sebelumnya kepada 151.2 mata, manakala harga import turun 0.2 peratus daripada 128.0 mata kepada 127.7 mata," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata indeks nilai seunit eksport meningkat 0.3 peratus pada Januari 2025 berbanding bulan sebelumnya.
"Peningkatan ini disumbangkan oleh kenaikan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (+0.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (+0.8 peratus) dan minyak galian (+0.7 peratus).
"Bagaimanapun, indeks volum eksport menurun 11.6 peratus selaras dengan penurunan indeks minyak dan lemak binatang serta sayur-sayuran (-19.3 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-13.6 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-13.1 peratus)," katanya.
Beliau berkata indeks volum eksport pelarasan bermusim merosot 2.9 peratus daripada 163.8 mata kepada 159.1 mata.
Mengenai perbandingan tahunan, indeks nilai seunit bertambah 2.7 peratus dan indeks volum berkurang 2.4 peratus.
Mod Uzir berkata indeks bahan kimia (-0.5 peratus), alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.4 peratus) dan minyak galian (-0.3 peratus) yang menyumbang kepada penyusutan indeks nilai seunit import kepada 0.2 peratus pada Januari 2025.
"Namun, indeks volum import naik 0.1 peratus pada Januari 2025 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan indeks bahan mentah tidak boleh makan(+12.4 peratus), makanan (+6.8 peratus) dan alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+3.9 peratus).
"Indeks volum import pelarasan bermusim melonjak 5.7 peratus daripada 201.5 mata kepada 212.9 mata.
"Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import merosot 0.7 peratus manakala indeks volum meningkat 6.9 peratus," katanya.
-- BERNAMA
