Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata 37 syarikat PJH itu memiliki Lesen Pengendali Pelancongan yang dikeluarkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Beliau berkata syarikat berkenaan mempunyai kewangan yang kukuh, kepakaran serta pengalaman yang mencukupi untuk menjaga kebajikan jemaah haji.
"TH sentiasa memantau semua PJH bermula daripada peringkat perancangan sehingga pelaksanaan untuk memastikan semua jemaah haji mendapat perkhidmatan terbaik dan mengelakkan sebarang penipuan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Syed Hamadah menjelaskan pemberian visa furada dan mujamalah yang dikeluarkan kepada kumpulan tertentu adalah hak mutlak Kerajaan Arab Saudi dan ia di luar kuota haji rasmi negara.
Beliau berkata kerajaan Arab Saudi giat memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kecekapan prosedur musim haji bagi kelancaran proses ibadat dan keselamatan para jemaah yang datang dari seluruh dunia.
"Kerajaan Arab Saudi juga akan melaksanakan kawalan keselamatan yang lebih ketat semasa kemuncak haji dengan sistem pengesahan jemaah haji yang lebih efisien bagi memeriksa setiap jemaah yang masuk ke kawasan Masyair.
"Sebarang penggunaan visa tidak sah, akan dikenakan tindakan undang-undang dan denda yang berat," katanya.
Sementara itu, belliau berkata TH menyokong penuh saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang awam supaya berwaspada dengan sindiket penipuan haji dan tidak mudah terpedaya dengan taktik tawaran visa serta pakej haji di luar kuota haji negara.
Syed Hamadah berkata mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa lesen daripada TH adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).
Semalam, PDRM menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mendedahkan terdapat 44 kes penipuan haji dan umrah disiasat sepanjang 2024 melibatkan nilai kerugian RM890,810.53.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)