BANGKOK: Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46 yang bakal dianjurkan di Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia telah mendapat sokongan yang amat baik dari Thailand, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Johari, yang memulakan jelajah rasmi ke negara-negara anggota ASEAN di Thailand, berkata rakan sejawatnya di Thailand telah melahirkan keyakinan dan sokongan terhadap Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025.

"Speaker Thailand sangat menyokong usaha-usaha kita dalam memperkukuh hubungan anggota ASEAN, dan mereka akan menghantar rombongan besar untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat di Malaysia nanti," katanya kepada Bernama pada Rabu.

Beliau berkata Malaysia akan menganjurkan lima mesyuarat penting sebelum kemuncak AIPA pada September depan di Kuala Lumpur.

Terdahulu, Johari telah mengadakan pertemuan dengan Presiden Perhimpunan Kebangsaan merangkap Speaker Dewan Perwakilan Thailand Wan Muhamad Noor Matha serta Presiden Senat Thailand, Mongkol Surajja di Parlimen Thailand.

Johari menjelaskan bahawa tujuan jelajah ASEAN ini adalah untuk memberikan penghormatan kepada negara-negara anggota dan mengambil peluang menerangkan visi kepengerusian Malaysia.

"Melalui jelajah ini, kami mahu memperjelas hala tuju yang akan dibawa, mendengar cadangan daripada negara-negara anggota dan menunjukkan bahawa Malaysia menghormati semua pihak," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa perjumpaan ini dapat menyediakan platform yang baik untuk perbincangan serta menerima cadangan bernas daripada negara anggota.

"Jika ada sebarang isu, kita boleh menyelesaikannya di peringkat awal sebelum perbezaan pendapat timbul dan mungkin menjejaskan mesyuarat besar kelak," katanya.

Johari berkata jelajah ASEAN ini juga mencerminkan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dengan negara anggota selaras dengan matlamat menjadikan rantau ini lebih bersatu, berdaya tahan, inklusif dan kompetitif di peringkat global.

Selepas Thailand beliau akan melawat Kemboja, Singapura, Filipina dan Indonesia.

"Saya merancang untuk melawat semua negara anggota pada Mac sebelum mesyuarat AIPA pertama pada April," katanya.

-- BERNAMA