Ringkasan AI
- Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, menyatakan isu sensitif boleh ditangani oleh Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA) dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP).
- Chow Yu Hui mencadangkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua, satu untuk urusan agama Islam dan satu lagi untuk hal ehwal bukan Islam.
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan cadangan tersebut telah dibawa ke Mesyuarat Kabinet dan ditolak oleh Jemaah Menteri, menyifatkan ia sebagai pandangan peribadi Yu Hui.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, jika timbul sebarang isu sensitif, ia boleh dibawa ke Bahagian Keharmonian Antara Penganut Agama (BKAPA).
“Ada pelbagai bahagian di bawah Kementerian Perpaduan yang boleh menangani isu hal bukan Islam dan ia turut disertai oleh pelbagai pihak termasuk daripada wakil agama.
"Selain BKAPA, kita ada Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) untuk menangani isu sensitif membabitkan agama dan sebagainya.
"Kalau ada isu berbangkit, kita adakan mesyuarat melihat kepada isu berkaitan, akan bincang dan cadangkan tindakan sepatutnya diambil dan terang keadaan sebenar kepada masyarakat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Jejak Harmoni sempena Minggu Keharmonian Antara Penganut Agama Sedunia, di sini, pada Sabtu.
Maklum balas itu bagi mengulas kenyataan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui yang mencadangkan portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dipecahkan kepada dua.
Yu Hui ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja menyarankan ia dipecah kepada portfolio untuk urusan agama Islam dan satu lagi hal ehwal bukan Islam.
Cadangan yang menerima pelbagai pertikaian masyarakat itu kemudian diulas oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Anwar, cadangan itu dibawa ke Mesyuarat Kabinet dan ditolak oleh Jemaah Menteri, sambil beliau menyifatkan ia hanyalah pandangan peribadi Yu Hui.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)