Ringkasan AI
- Tiada keputusan atau laporan yang menunjukkan cip AI Nvidia dalam pelayan dipindahkan ke Malaysia dari Singapura, menurut Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
- Kerajaan Malaysia sedang menyiasat dakwaan tersebut bersama agensi berkaitan dan akan terus memantau kemungkinan kes penipuan oleh syarikat pengimport pelayan.
- Pasukan Petugas Khas Pusat Data telah ditubuhkan untuk menangani isu dan kebimbangan mengenai pengembangan pusat data di Malaysia.
"Pada masa ini, kita telah memulakan penyiasatan bersama-sama dengan agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan pihak dari Amerika Syarikat (AS).
"Buat masa ini tidak ada lagi keputusan ataupun laporan yang menunjukkan (perkara itu) memang ada," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Rita Sarimah Anak Patrick Insol mengenai langkah kerajaan dalam melindungi Malaysia daripada dipergunakan sebagai negara pengantara atau pengeksportan semula cip kecerdasan buatan (AI) ataupun peralatan pengeluaran semikonduktor canggih yang dilarang ke negara China susulan terdapat dakwaan cip NVIDIA dieksport semula melalui Malaysia ke republik itu.
Pada masa sama, katanya, kerajaan akan terus memantau sekiranya terdapat kemungkinan berlaku kes penipuan oleh syarikat pengimport pelayan (server) yang mengandungi cip tidak digunakan seperti yang disebut dalam permintaan untuk mengimport barangan tersebut.
"Kita akan terus memantau... pada petang ini juga saya dan Menteri Digital Gobind Singh Deo sebagai pengerusi bersama akan mengadakan mesyuarat pertama Joint Data Centre Task Force (Pasukan Petugas Khas Pusat Data Bersama) ini," katanya.
Kementerian itu pada 25 Feb berkata Pasukan Petugas Khas Pusat Data yang diluluskan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah ditubuhkan untuk membincangkan unjuran pelaburan dan cabaran industri utama serta menangani isu dan kebimbangan mengenai pengembangan pusat data di Malaysia.
Antara isu-isunya adalah penggunaan tenaga, kesediaan infrastruktur dan cabaran daripada penguatkuasaan peraturan.
Pada 3 Mac, MITI menerusi satu kenyataan memaklumkan sedang menyiasat dakwaan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan dialihkan dari Singapura ke Malaysia.
Ini susulan laporan media yang memetik Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Dalam Negeri Singapura K Shanmugam sebagai berkata pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan di negara itu mungkin mengandungi cip AI Nvidia, yang kemudiannya dipindahkan ke Malaysia.
Pada Isnin lepas, dilaporkan cip AI Nvidia dalam pelayan yang dikaitkan dengan kes penipuan didakwa dipindahkan ke Malaysia dari Singapura.
Menurut laporan berita dari Singapura cip tersebut didakwa dibenam dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dipindahkan ke Malaysia.
-- BERNAMA
