Ringkasan AI
- Dasar pemberian tol percuma untuk semua perayaan utama tidak akan diteruskan bermula tahun ini, termasuk sambutan Tahun Baharu Cina. Namun, ia mungkin akan dilaksanakan jika terdapat pertimbangan lain.
- Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat SAE ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer mula dibuka bermula pada Rabu.
- Pengguna yang memasuki WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya akan menikmati tol percuma selama satu bulan sebagai tanda penghargaan. Selepas tempoh ini, kadar tol akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing.
Bagaimanapun kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, pemberian tol percuma itu mungkin akan dilaksanakan sekiranya terdapat pertimbangan lain dan ia akan diumumkan dari semasa ke semasa.
"Tahun lepas kerajaan sudah memutuskan iaitu pada tahun lalu adalah tahun terakhir tol percuma semasa perayaan, kalau mengikut keputusan itu maka tiada lagi (tol percuma) dan kalau ada mungkin ada pertimbangan lain.
"Sebab kerajaan sudah menyelaraskan subsidi secara bersasar tetapi perinciannya akan dimaklumkan kemudian," ujarnya selepas menyempurnakan Majlis Pembukaan Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini pada Selasa.
Seksyen 2 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dari Persimpangan Bertingkat Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) ke Persimpangan Bertingkat SAE ini melibatkan jajaran sepanjang 7.2 kilometer mula dibuka bermula pada Rabu.
Pengguna kini mempunyai laluan alternatif lebih mudah dari Banting menuju ke Shah Alam, Klang, Putrajaya, Kajang, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebaliknya dengan sambungan terus ke SKVE dan Lebuhraya Shah Alam (KESAS).
Alexander berkata, sebagai tanda penghargaan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE dari Plaza Tol SAE ke Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE) dan sebaliknya, mereka akan menikmati tol percuma selama satu bulan.
"Saya ingin mengingatkan pengguna yang menggunakan laluan dari Plaza Tol SAE menuju ke Plaza Tol Banting atau sebaliknya, bahawa pengecualian tol hanya akan diberikan sehingga Persimpangan Bertingkat SKVE (WCE).
"Kadar tol bagi jajaran sedia ada akan dikenakan seperti biasa mengikut kelas kenderaan masing-masing selepas tempoh sebulan," ujarnya. -Sinar Harian