PUTRAJAYA: Kerajaan menafikan dakwaan yang tular di media sosial mengenai kononnya terdapat undian dengan keputusan 7-2 dalam sidang Majlis Raja-Raja baru-baru ini, berhubung Titah Adendum.


Ringkasan AI
  • Kerajaan menafikan dakwaan mengenai undian 7-2 dalam sidang Majlis Raja-Raja baru-baru ini berhubung Titah
  • Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis mengenal pasti individu yang menularkan maklumat palsu tersebut.
  • Kerajaan bercadang untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menangani isu percanggahan dengan akta lain dan memperkukuhkan perlindungan kepada pemberi maklumat.


Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, susulan penyebaran maklumat palsu itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan polis mengenal pasti beberapa individu yang terlibat menularkan dakwaan tersebut.

"Saya ingin menyentuh satu dakwaan yang tular dalam media sosial, kononnya dalam sidang Majlis Raja-Raja baru-baru ini terdapat satu undian yang dibuat dengan keputusan 7-2.

"Hakikatnya, ini adalah satu mainan yang mana sejujurnya, tidak ada sebarang undian yang dilakukan dalam Majlis Raja-Raja baru-baru ini. Malah, berdasarkan proses sedia ada, sekiranya ada sebarang undian sekalipun, hanya Raja yang berdaulat sahaja berhak untuk mengundi dalam sidang tersebut.

"(Selain itu), menerusi gambar yang dimuat naik dalam Facebook rasmi Sultan Ibrahim mengenai sidang Majlis Raja-Raja yang baru berlangsung, dapat dilihat bahawa Tuanku sendiri tidak hadir.

"Ini bermaksud tidak ada sembilan Raja yang mengundi seperti yang didakwa. Dakwaan undian 7-2 itu jelas tidak berasas kerana Baginda tidak menghadiri mesyuarat tersebut disebabkan gering dan kemudiannya berangkat ke luar negara pada Jumaat minggu lalu untuk mendapatkan rawatan perubatan," katanya pada sidang media pasca Kabinet di sini, pada Jumaat.

Terdahulu tular tangkap layar kononnya berlaku undian dalam Majlis Raja-Raja untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan PH-BN kerana ingkar melaksanakan Titah Adendum.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Fahmi menjelaskan kerajaan berpendapat ada keperluan untuk meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 bagi menangani beberapa isu percanggahan dengan akta lain selain memperkukuhkan perlindungan kepada pemberi maklumat.

Sehubungan itu katanya, satu memorandum mengenai cadangan pindaan akta tersebut juga dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri pada minggu lalu.

Namun katanya, sekali pindaan belum dilaksanakan, akta sedia ada tetap terpakai dan perlu dipatuhi.