PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes seorang pegawai tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang didakwa mengambil elaun tanpa kelulusan Ahli Majlis BAM.


Ringkasan AI
  • SPRM mengesahkan tiada unsur jenayah dalam kes seorang pegawai tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang didakwa mengambil elaun tanpa kelulusan. Laporan lengkap akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, untuk memperbetulkan beberapa perkara tatakelola.
  • SPRM masih meneruskan siasatan terhadap Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berhubung isu penyelewengan dana levi latihan. Siasatan ini melibatkan isu kelemahan sistem dan prosedur serta siasatan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan.
  • Seorang bekas pengurus besar akan dituduh bulan ini berhubung kontrak yang dianugerahkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS). SPRM telah melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan syor dua pertuduhan.


Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata susulan itu, satu laporan lengkap berhubung siasatan akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh kerana wujud beberapa perkara yang perlu diperbetulkan.

"Siasatan telah selesai dan berkeputusan bahawa Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada sebarang kes jenayah yang boleh dikenakan terhadap individu yang berkenaan.

"SPRM akan menghantar satu laporan penyiasatan lengkap berhubung beberapa isu tatakelola ataupun tadbir urus yang kita nampak ada beberapa perkara perlu diberi perhatian," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Beliau menegaskan siasatan SPRM hanya ke atas pegawai berkenaan dan tidak membabitkan badan induk sukan badminton negara itu.

"Banyak yang keliru seolah-olah kita menyiasat institusi berkenaan. Kita, sepertimana yang saya pernah tegaskan, kita menyiasat individu yang berkenaan susulan daripada surat layang kepada SPRM," katanya.

Sementara itu, Azam berkata SPRM masih meneruskan siasatan terhadap Human Resource Development Corporation (HRD Corp) berhubung isu penyelewengan dana levi latihan menerusi Op Fund.

Beliau berkata siasatan dikendalikan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM Datuk Mohd Zaki Hassan berhubung isu-isu kelemahan sistem dan prosedur yang berlaku di HRD Corp.

Azam menegaskan siasatan turut membabitkan siasatan jenayah di bawah Akta SPRM 2009 atau Kanun Keseksaan dan bukan hanya melibatkan hal-hal berkaitan laporan audit.

"Jadi dalam hal ini, saya lagi sekali ingin membetulkan mungkin salah pernyataan yang dibuat oleh penguat kuasa saya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam mesyuarat yang terdahulu yang mengatakan kes HRD Corp telah ditutup.

"... pegawai kami masih lagi meneruskan siasatan untuk yang lebih terperinci," katanya.

Pada 9 Dis tahun lepas, PAC meminta penjelasan berhubung tindakan SPRM mengklasifikasikan siasatan kes HRD Corp sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Perkara tersebut antara yang terkandung dalam laporan PAC terhadap tindakan susulan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan HRD Corp berhubung pengurusan dana latihan dan keberkesanan program perbadanan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Berhubung siasatan kes rasuah pembekalan baja padi di bawah Op Ladang, Azam berkata seorang bekas pengurus besar akan dituduh bulan ini membabitkan kontrak dianugerahkan kepada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS).

SPRM katanya telah melengkapkan dan menyerahkan kertas siasatan kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 13 Dis tahun lepas dengan syor dua pertuduhan.

"Saya boleh katakan sebelum penghujung bulan ini (bekas pengurus besar itu didakwa)," katanya.

-- BERNAMA