KUALA LUMPUR: Berita palsu tentang penularan penyakit tuberculosis atau tibi di Cheras di sini yang tersebar baru-baru ini, sedikit sebanyak mencetuskan kegusaran masyarakat jika dijengah ke laman media sosial.
Namun, jaminan yang diberikan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa bahawa jangkitan penyakit yang boleh membawa maut itu terkawal di negara ini meredakan keresahan orang ramai, sekalipun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pernah melaporkan bahawa kes tibi dunia kembali meningkat selepas bertahun-tahun merekodkan penurunan.
WHO yang menyasarkan 2035 sebagai tahun dunia bebas tibi, turut menganggarkan kematian akibat penyakit itu meningkat 14 peratus dalam tempoh dua tahun kepada 1.6 juta orang pada 2021.
Dilaporkan, antara punca peningkatan kes tibi atau batuk kering ini adalah kerana pandemik COVID-19 yang mengganggu akses kepada diagnosis dan rawatan tibi.
Malaysia juga tidak terkecuali, merekodkan pertambahan kes jangkitan dalam tempoh beberapa tahun belakangan ini dengan 25,391 kes dilaporkan pada 2022, iaitu meningkat sebanyak 3,664 kes atau 17 peratus berbanding 21,727 kes pada 2021.
Di sebalik peningkatan kes itu, angka yang dilaporkan oleh negara ini adalah lebih rendah berbanding anggaran WHO untuk Malaysia, iaitu 30,000 kes setahun.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ketika ini dilihat telah mengambil pelbagai pendekatan termasuk merangka Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi (2021-2030), bagi memastikan negara melangkah seiringan dengan sasaran WHO
Berbaki 12 tahun sebelum sasaran dunia bebas tibi direalisasi, peningkatan kes jangkitan pada masa ini menimbulkan tanda tanya sama ada Malaysia mampu mencapai matlamat WHO itu dalam tempoh yang ditetapkan.
ANCAMAN TIBI TERPENDAM
Mengulas tentang hal itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Sektor Kawalan Tibi/Kusta, Bahagian Kawalan Penyakit KKM Dr Asmah Razali berkata antara ancaman utama KKM dan masyarakat dalam membasmi penyakit tersebut ialah kes tibi terpendam (Laten TB).
Jelas beliau, bahaya kes sedemikian ialah si penghidap tidak menunjukkan sebarang simptom, sekali gus memustahilkan pengesanan dan rawatan.
"Oleh sebab itulah menerusi Pelan Strategik Nasional untuk Menamatkan Tibi kita menekankan prinsip scan (kesan), screening (saringan) dan prevent (cegah) sebagai usaha mengekang penularan kuman tibi di Malaysia.
"Melalui langkah ini, kita akan cuba mengesan individu yang mempunyai tibi terpendam menerusi saringan yang dibuat, kerana kebanyakannya tidak menunjukkan sebarang gejala meskipun telah dijangkiti kuman berkenaan, disebabkan oleh sistem imun mereka masih lagi kuat," jelas beliau ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara, terbitan Bernama TV yang disiarkan Isnin lalu.
WHO mendefinisikan jangkitan tibi pendam sebagai satu keadaan apabila tubuh individu yang dijangkiti menghasilkan tindak balas imun berterusan terhadap rangsangan oleh antigen mikrobakterium tuberkulosis tanpa sebarang gejala klinikal.
Bercerita lanjut, Dr Asmah berkata kuman tibi boleh hidup atau kekal hidup di dalam tubuh manusia dalam keadaan dorman atau fasa tidak aktif selama bertahun-tahun.
Akan tetapi, dalam tempoh tertentu, kuman terbabit akan mula aktif dalam badan individu itu, didorong oleh pelbagai faktor termasuk peningkatan usia, gejala penyakit berisiko atau menghidap HIV.
Apabila kuman tersebut aktif, pesakit akan mula menunjukkan gejala, antaranya batuk berterusan lebih dua minggu, demam lewat petang, menggigil, keletihan serta penurunan berat badan secara mendadak.
"Untuk penyelesaian jangka pendek, apa yang kita buat ialah mengesan individu yang mempunyai tibi pendam dengan melakukan saringan di beberapa lokaliti yang kita kenal pasti, di mana mudah kuman tibi ini merebak, antaranya di depot tahanan dan institusi penjara.
"Langkah ini perlu kerana ada kes pesakit yang bertahun-tahun mempunyai kuman tibi ini di dalam badan dan mereka lewat menerima rawatan kerana tidak menyedari telah dijangkiti kuman tersebut,'' katanya.
Jelas beliau, semakin lewat pesakit tampil mendapatkan rawatan, semakin tinggi risiko penyakit dijangkitkan kepada orang lain.
Selepas kes disahkan, KKM katanya akan melaksanakan program saringan bagi mengesan kontak yang berinteraksi dengan kes indeks (pesakit pemula) agar dapat mencegah penularan.
"Saringan itu termasuklah dalam kalangan ahli keluarga sendiri kerana kebanyakan kes tibi adalah jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Dari situ juga kita akan cuba kesan mereka yang mempunyai tibi pendam kerana kita tidak mahu selepas 10 atau 15 tahun baru mereka didiagnosis sebagai pesakit tibi," katanya.
Dari segi kematian akibat tibi, Dr Asmah berkata untuk tahun ini setakat 11 Nov lalu, sebanyak 2,408 kes dilaporkan di negara ini.
SARINGAN WARGA ASING
Berbeza dengan cakap-cakap di luar sana bahawa kemasukan semula pekerja asing ke negara ini adalah punca pertambahan kes tibi, Dr Asmah berkata data KKM menunjukkan warga asing hanya mewakili 15 peratus daripada keseluruhan kes batuk kering tahun lalu.
"Apabila pekerja warga asing masuk secara sah, mereka ini akan melalui saringan kesihatan atau pre- entry screening yang dilakukan Fomema (Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing). Saringan ini akan dilakukan sebelum (mereka) memasuki Malaysia dan sejurus tiba di negara ini.
"Sekiranya mereka disyaki ada tibi atau penyakit jangkitan lain, mereka tidak akan dibenarkan bekerja di Malaysia dan akan dihantar pulang ke negara asal. Cuma yang menjadi kebimbangan kita ialah kumpulan yang masuk secara haram dan kita tidak tahu status kesihatan mereka.
"Mereka ini pula bebas bergaul dengan warga tempatan, jadi, apabila mereka ini berpenyakit tibi, secara tidak langsung boleh menjadi punca kepada penularan kes tibi di lokaliti tertentu," katanya.
SELESAIKAN RAWATAN
Dalam pada itu, Dr Asmah turut menyeru supaya individu yang telah disahkan sebagai berpenyakit tibi agar terus menerima rawatan, sekurang-kurangnya selama enam bulan, walaupun pesakit telah sihat dalam tempoh berkenaan.
Beliau berkata pesakit tibi perlu bertanggungjawab untuk menghabiskan rawatan termasuk mengambil ubat mengikut tempoh tertentu seperti yang disyorkan oleh doktor.
Katanya, kegagalan pesakit mengambil rawatan atau berhenti mendapatkan rawatan boleh menyebabkan kuman tibi menjadi mangli atau rintang kepada ubat tibi.
Jika berlaku, hal ini bukan sahaja membahayakan pesakit tibi berkenaan tetapi turut mengancam kesihatan orang di sekeliling mereka.
"Pesakit yang berhenti atau tidak mahu meneruskan rawatan juga akan berdepan dengan tindakan perundangan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988. KKM akan mencari dan mengesan mereka yang meninggalkan rawatan (separuh jalan)," katanya.
KKM sebelum ini menubuhkan pasukan Mychampion, iaitu sukarelawan di bawah kementerian itu bagi membantu mengesan mereka yang berhenti mendapatkan rawatan tibi.
Tibi lazimya menyerang paru-paru, namun melalui peredaran darah, tibi juga boleh menyerang bahagian lain tubuh manusia termasuk tulang, otak dan mata.
AMALKAN SOP COVID-19
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Epidemiologi Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata tanggungjawab menangani penyakit tibi tidak seharusnya diletakkan di bahu KKM semata-mata jika negara mahu memenuhi hasrat WHO mencapai negara bebas tibi menjelang 2035.
Katanya, semua pihak harus menggembleng tenaga dan memainkan peranan masing-masing bagi merealisasi matlamat berkenaan.
Bagi mengawal penularan tibi dalam kalangan masyarakat, orang ramai katanya boleh menerima guna prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan sebelum ini seperti berpelitup muka di tempat awam selain mengelak berada di kawasan yang sesak bagi membendung penularan jangkitan kuman tibi.
Beliau berkata sepertimana virus COVID-19, kuman tibi juga merebak melalu udara dan air liur.
"Penggunaan pelitup muka pada waktu ini dilihat penting, terutamanya buat individu yang mengalami simptom tertentu termasuk batuk dan demam.
"Selain itu, pesakit tibi harus prihatin terhadap orang lain dengan mengasingkan diri mereka, jangan berkumpul serta kurangkan interaksi dengan orang lain. Patuhi rejimen rawatan yang ditetapkan, termasuklah dalam pengambilan ubat-ubatan,'' nasihat beliau.
Menurut Dr Zainal Ariffin, pemberian imunisasi BCG kepada bayi baru lahir turut memberikan perlindungan terhadap meningitis tibi hingga 80 peratus menerusi rangsangan sistem imun bayi.
"Tidak terkecuali, majikan juga diingatkan agar menyediakan persekitaran yang bersih dan tidak sesak, bukan sahaja untuk pekerja tempatan tetapi juga warga asing. Sekiranya terdapat gejala, mereka perlu menerima rawatan secepat mungkin," tegas beliau. - BERNAMA / Nurqalby Mohd Reda
Bernama
Fri Dec 01 2023

Antara punca peningkatan kes tibi atau batuk kering ini adalah kerana pandemik COVID-19 yang mengganggu akses kepada diagnosis dan rawatan tibi. - Gambar hiasan
Guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher, lengan
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pengadu yang merupakan suami kepada wanita itu, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu kira-kira 5.30 petang.
Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning dihantar seawal Selasa - Speaker
Speaker DUN Perak akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning seawal Selasa
Yellow House rasmi pembukaan premis baharu
Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House merasmikan pembukaan premisnya yang dinaik taraf di Kampung Ampang Campuran pada Sabtu.
Polis ditembak mati lelaki bersenjata di Amerika syarikat
Tindakan suspek dipercayai berpunca daripada tindak balas mangsa yang cuba mententeramkan suspek yang sebelum itu menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan di sebuah hospital.
China kesan satu lagi varian baharu koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kanak-kanak lapan tahun maut selepas bot terbalik di Panama
Menurut perkhidmatan sempadan kebangsaan Panama (Senafront), sebelum insiden, bot membawa 21 orang penumpang tersebut meneruskan perjalanan meskipun amaran cuaca buruk telah dikeluarkan.

Enam maut, bumbung pusat beli-belah runtuh di Peru
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa struktur yang runtuh bukan sekadar kanopi ringan, sebaliknya merupakan binaan kukuh yang jatuh tepat di kawasan taman permainan kanak-kanak dalam medan selera.
AWANI Ringkas: 12 termasuk kanak-kanak, bayi terperangkap dalam lif
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

Banyak idea baharu lahir dari Sesi Permukiman Jemaah Menteri - TPM Ahmad Zahid
Setiap pandangan yang dikongsi pada sesi itu, adalah cerminan keprihatinan dan komitmen kerajaan dalam mencorak masa depan lebih cerah.

Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi tahun 2024 - Amir Hamzah
Berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga 2024, pencarum boleh mengharapkan berita gembira berkaitan agihan dividen yang lebih baik bagi tahun 2024 berbanding tahun sebelumnya.

Pekerja kedai makan ditemukan maut di hostel
Hasil pemeriksaan pegawai perubatan telah mengesahkan punca kematian adalah disebabkan penyakit Tibi.

Tahanan lelaki meninggal dunia di Kuantan kerana Tibi - Bukit Aman
OKT disahkan mengidap penyakit Tuberkulosis (Tibi) hasil bedah siasat yang dijalankan.

Penularan kes tibi di Malaysia menurun
Penting pesakit mendapatkan rawatan awal bagi mengelak komplikasi dan kematian serta mencegah penularan.
Penghidap tibi dihukum penjara dan sebatan kerana menculik dan mencabul
Majistret Siti Shakirah Mohtarudin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap G.Jagajasen, selepas dia mengaku bersalah.