Beliau berkata menerusi program promosi daripada Persatuan Hotel-hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), ia telah menjadikan negeri ini sebagai antara tempat pelancongan baharu kepada rakyat Indonesia, kerana sebelum ini mereka hanya mengenali Malaysia tetapi tidak mengetahui mengenai Kelantan.
"Tahun lepas kita sudah mengadakan lawatan ke Riau, Indonesia jadi sempena lawatan balas perniagaan kepada perniagaan (B2B), mereka pula hadir untuk melihat sendiri apa lagi keunikan yang terdapat di negeri Cik Siti Wan Kembang ini," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pengkalan Datu, di sini baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Asosiasi Travel Agent Indonesia (Astindo) Riau Harpina Dian Sari berkata seramai 30 orang delegasi mengikuti rombongan pelancongan itu dan kesemua mereka baru pertama kali menjejakkan kaki ke Kelantan.
"Kebiasaannya ejen pelancongan membawa kami melihat bandar seperti Kuala Lumpur dan Melaka, tetapi kali ini di Kelantan ternyata ada banyak juga tempat menarik termasuk kemudahan jalan dan hotel bajet yang ditawarkan.
"Kelantan ini jauh daripada hiruk pikuk kesibukan bandar dan ada banyak perkampungan yang nyaman, keindahan alam yang cantik dan keunikan budaya serta makanan tradisional," katanya.
Pengerusi Persatuan MyBHA Kelantan Mohd Asri Husin mengakui tidak ramai pelancong dari Indonesia yang mengadakan lawatan ke Kelantan dan kurang diberi pendedahan mengenai tempat-tempat yang menarik di negeri ini.
"Justeru, menerusi penganjuran program bersama kerajaan negeri, saya percaya ia membuka ruang kepada rakyat Indonesia untuk mengenali Kelantan," katanya.
--BERNAMA
