Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd Razak berkata, imam-imam itu bertugas di daerah Parit Buntar, Teluk Intan dan Kuala Kangsar.
Menurutnya, nasib mereka seterusnya akan diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib jabatan itu yang dijangka bermesyuarat pada awal Ramadan.
“Kes berlaku pada 31 Januari dan selepas itu pada 6 Februari kita telah keluarkan surat untuk tahan tugas dan kita tahan imbuhan kepada empat orang imam yang setakat ini JAIPk terima aduan.
“Jika ada lagi, kita akan buat susulan yang sama, tapi buat masa ini, kita tidak terima aduan lain,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina di Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) Ipoh, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib JAIPk akan memutuskan sama ada untuk menamatkan perkhidmatan empat imam itu atau mengambil tindakan tatatertib yang lain.
Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah prihatin mengenai isu berkenaan dan menitahkan agar tindakan tegas diambil.
“Tuanku prihatin tentang perkara ini sebab imam atas nama pegawai masjid, itu tuanku yang tauliahkan, tuanku yang sampaikan watikah semua tu.
“Jadi tuanku amat dukacitalah kalau baginda dah beri tauliah sebagai imam yang tertibnya di bawah peraturan yang ditetapkan, kita ikut saja, tak ada isu pun,” ujarnya.
Menjelaskan lanjut, Zakaria berkata, berdasarkam siasatan awal, kebanyakan alasan yang diberi imam berkenaan ialah teks tidak boleh dimuat turun untuk dicetak.
Tambahnya, empat imam berkenaan didapati tidak membaca khutbah yang disediakan JAIPk, sebaliknya membaca teks khutbah tahun 2023, disediakan Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM), khutbah negeri Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian seumpama itu pernah berlaku sebelum ini tetapi pihak JAIPk tiada maklumat mengenai kerana tiada aduan.
Beliau seterusnya menasihatkan pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid supaya sentiasa memantau dan memastikan sebelum khatib naik ke mimbar, teks khutbah yang diletakkan sama dengan tajuk yang disediakan JAIPk.
Sebelum ini, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim hari ini membuat laporan polis berhubung dakwaan khatib sebuah masjid di Teluk Intan tidak membaca teks khutbah Jumaat yang disediakan.
Beliau mendakwa, mendapat maklumat perkara sedemikian turut berlaku di beberapa masjid lain di Perak.
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)