Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata selain bantuan daripada tabung berkenaan, beliau turut menyerahkan sumbangan tunai peribadi kepada ketiga-tiga beradik itu dan akan menampung bayaran bil telefon ketiga-tiga beradik itu untuk tempoh setahun.
"Saya akan mendapatkan maklumat mengenai talian telefon yang digunakan oleh ketiga-tiga anak ini dan Insya-Allah sekiranya postpaid, saya akan bantu membayarkan Internet mereka untuk setahun, supaya mereka tiada apa-apa masalah untuk berhubung dengan keluarga atau sesama mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi anak-anak Allahyarham itu di kediaman mereka di Taman Setia 2, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.
Fahmi berkata beliau juga amat terkesan dan bersimpati dengan nasib tiga beradik itu yang kini menjadi yatim piatu.
"Beliau (Muhammad Basir) merupakan penerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA yang pertama pada April 2023. Pada waktu itu, saya ingat lagi sebagai menteri, ini rumah pertama yang saya ziarah dan keluarga pertama yang menerima bantuan melalui program ini.
"Malangnya, pada bulan Oktober tahun itu, isterinya Nor Azlina Jaafar telah meninggal dunia dan semalam, kami mendapat maklumat Allahyarham Muhammad Basir pula meninggal dunia.
"Jadi terima kasih saya ucapkan kepada pihak Bernama (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia) yang telah mengusahakan bantuan sumbangan kepada mereka," katanya.
Fahmi berkata seramai 303 individu telah menerima bantuan Tabung Kasih@HAWANA setakat ini dan inisiatif itu akan diteruskan untuk membantu lebih ramai bekas wartawan yang berdepan kesulitan terutama yang mengalami masalah kesihatan kronik.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan disolatkan di Masjid Taman Taming Jaya, Balakong sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 10, Cheras.
Muhammad Basir, 45, meninggal dunia pada 6.45 petang semalam di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang dan meninggalkan tiga anak berusia 10 hingga 15 tahun, manakala isterinya Nor Azlina yang juga bekas jurufoto Kumpulan Utusan, telah meninggal dunia pada 17 Okt 2023.
Sementara itu, pemergian Allahyarham Muhammad Basir dianggap kehilangan besar kepada rakan-rakan seperjuangannya, selepas Utusan Melayu menamatkan operasi pada 2019.
Bekas Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) Mohd Taufek Razak berkata selaku Setiausaha NUJM, Allahyarham telah banyak memberikan sumbangan tenaga dan masa untuk menuntut pampasan daripada syarikat setelah ribuan kakitangan diberhentikan.
"Jika sebut soal perjuangan, secara jujur saya katakan Allahyarham mempunyai semangat juang yang sangat tinggi.
"Bukan sahaja beliau, malah Allahyarham isterinya Nor Azlina juga memainkan peranan sangat besar kepada perjuangan bekas kakitangan Utusan Melayu dan NUJ untuk mendapatkan pampasan daripada syarikat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Masjid Taman Taming Jaya.
Pada masa sama, bekas Bendahari NUJM Baharuddin Yaacob berkata Muhammad Basir dan Nor Azlina juga dikenali sebagai pasangan yang selalu mengambil berat kebajikan rakan sekerja mereka yang dalam kesusahan atau melibatkan kematian.
"Mereka berdua tidak segan menyediakan tabung kutipan derma di pejabat untuk disumbangkan kepada rakan-rakan yang berada dalam kesusahan. Dari situ kami semua boleh nampak mereka berdua ini mempunyai kekuatan dan kelebihan terutama dalam isu kebajikan orang sekeliling," katanya.
Baharuddin berkata setelah Nor Azlina meninggal dunia pada 2023, Allahyarham tetap kental meneruskan perjuangan menuntut pampasan walaupun kesihatannya sendiri semakin merosot.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Kamarul Baharin Mansor berkata semasa hayat Allahyarham, beliau kerap ke pejabat kesatuan itu bagi mendapatkan nasihat daripada pihaknya.
"Apabila Utusan Melayu ditutup, Allahyarham antara pemimpin NUJ yang turun naik ke pejabat MTUC bagi mendapatkan pandangan untuk memperjuangkan hak, dan jasanya membantu kawan-kawan mendapatkan keadilan, tidak boleh dipertikaikan," katanya yang turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
-- BERNAMA
