Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi menerima laporan kehilangan vesel yang dilaporkan oleh pemilik vesel, pada 30 Januari yang lepas.
“Vesel berkenaan dimaklumkan telah bertolak dari Jeti Kuala Kedah menuju ke Jeti Kuala Kurau pada 26 Januari, sekitar jam 11.30 malam. Bagaimanapun, sehingga kini, tekong serta kru vesel berkenaan gagal dihubungi.
“MRSC Langkawi telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (OP CARILAMAT) pada 31 Januari sejurus menerima laporan dengan meliputi kawasan pencarian sekitar 1,218.9 batu nautika, merangkumi perairan Kuala Kedah hingga ke Kuala Kurau,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Romli berkata, operasi pencarian nelayan serta vesel ini telah melibatkan tiga aset di laut dan sebuah pesawat udara milik Maritim Malaysia selain dibantu dua aset daripada Pasukan Polis Marin (PPM).
Katanya, Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) turut ditubuhkan di Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah dan Pejabat Zon Maritim Kuala Kurau sebagai pusat operasi.
Orang ramai, khususnya komuniti maritim yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini, diminta untuk menyalurkan maklumat segera kepada pihak berkuasa melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi talian operasi 24 jam MRSC Langkawi di talian 04-9662750.