ATC Putrajaya yang merupakan sebahagian daripada 18 acara siri Piala Benua 2025, akan menyaksikan ketiga-tiga atlet berkenaan bersaing bersama 119 triatlet elit dari 20 negara.
Perlumbaan terbabit akan diadakan dalam kategori Sprint yang melibatkan renang sejauh 750 meter, berbasikal (20km) dan larian (5km).
Jaguh triatlon negara Isaac Tan dan Esther Joy Chen, masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita bersedia menggalas cabaran dalam edisi kedua ATC Putrajaya yang menarik penyertaan lebih 1,000 atlet pelbagai kategori umur.
Selain bersaing dengan peserta antarabangsa, atlet triatlon Malaysia juga dijangka menampilkan persaingan sengit di peringkat tempatan memandangkan ATC Putrajaya turut menjadi kejohanan kebangsaan dan acara kelayakan utama untuk Sukan SEA Thailand pada Disember depan.
Presiden Persatuan Triathlon Malaysia Tony Tan berkata sebagai perlumbaan pertama untuk tahun ini di rantau Asia Tenggara, ATC Putrajaya memberi makna besar menjelang Sukan SEA tahun ini dan Sukan Remaja Asia yang akan berlangsung di Bahrain pada Oktober ini.
"Kebanyakan negara termasuk Malaysia menjadikan acara ini sebagai sebahagian daripada proses pemilihan dan kelayakan atlet mereka. Sehubungan itu, perlumbaan ini turut berfungsi sebagai kejohanan kebangsaan. Acara ini memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan dan pendedahan atlet muda di rantau ini.
"Selama ini, atlet muda kita (Malaysia) mempunyai peluang yang terhad untuk bersaing dengan rakan sebaya mereka. Triathlon Malaysia berasa bangga dapat menyaksikan perkembangan sukan yang menggabungkan tiga disiplin yang semakin pesat di negara ini," katanya dalam satu kenyataan.
-- BERNAMA
