Ringkasan AI
- Lima individu termasuk tiga penjawat awam ditahan reman selama tujuh hari kerana disyaki memberi dan menerima rasuah bernilai RM1 juta untuk mendapatkan kawasan pembalakan.
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita dua kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit sebagai sebahagian daripada siasatan.
- Siasatan awal mendapati perbuatan rasuah tersebut dilakukan sejak 2016, dan kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Perintah reman sehingga Selasa depan itu dikeluarkan Majistret Mohamad Ridhwan Syarizal di Mahkamah Majistret Johor Bahru, Johor pada Rabu.
Menurut sumber, kesemua suspek iaitu empat lelaki dan seorang wanita, yang berusia antara 30 hingga 50-an itu telah ditahan secara berasingan di beberapa lokasi di Pantai Timur dan di selatan tanah air antara jam 12 tengah hari hingga 5 petang Selasa.
"Siasatan awal mendapati perbuatan tersebut dilakukan sejak 2016 dan kesemua suspek disyaki menerima rasuah kira-kira RM1 juta bagi kerja-kerja pembalakan," katanya di sini, pada Khamis.
Selain itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut menyita dua buah kenderaan mewah dan wang tunai puluhan ribu ringgit.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Katanya juga, dua individu yang turut ditahan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan SPRM.