TAWAU: Tiga rumah yang didiami tiga keluarga di Kampung Titingan, di sini terbakar ketika menjelang waktu berbuka puasa, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, beberapa penghuni yang sibuk menyediakan hidangan berbuka puasa tidak sempat menyelamatkan barang-barang penting mereka.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku dalam kebakaran berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.13 petang.

Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

"Pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan dua pancutan air dari sumber air jentera dan pili bomba.

"Operasi turut dibantu oleh pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan menggunakan dua pam angkut dari sumber pili bomba, " katanya dalam kenyataan semalam.

Menurutnya, kebakaran berkenaan membabitkan tiga buah rumah iaitu sebuah kediaman yang musnah sepenuhnya dan dua lagi terkena bahang api.

"Operasi ditamatkan pada jam 6.09 petang setelah memastikan tiada bahaya lain yang wujud di lokasi kejadian," katanya.