KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agensi keselamatan dan penguat kuasa untuk bertindak pantas dan berkesan tanpa sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menghasut dengan menggunakan isu perkauman atau agama.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat yang turut meneliti plebagai isu berkait termasuk isu hasutan, perkauman dan agama yang kini tulkar di media sosial.

"Semua pihak juga diingatkan untuk memelihara perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat, dengan memupuk persefahaman dan hormat-menghormati antara satu sama lain.

"Pada masa sama rakyat Malaysia digesa sentiasa mematuhi undang-undang negara demi kesejahteraan bersama," kata Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dalam kenyataan pasca Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Jumaat.

Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pihak supaya tidak menggunakan isu perkauman sebagai senjata politik untuk memenangi sokongan atau menjatuhkan lawan.

Ia berikutan beberapa isu berkaitan 3R (Kaum, Agama dan Raja) dibangkitkan sejak kebelakangan yang mencetus pelbagai polemik.

Menurut Anwar, sesuatu isu sensitif seharusnya diselesaikan mengikut jalur atau platform yang sudah ditetapkan dalam perundangan.