IPOH: Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) memaklumkan Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib jabatan itu akan memutuskan sebarang tindakan terhadap seorang khatib yang didakwa membacakan teks Khutbah Jumaat Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) pada 31 Jan lepas.

Timbalan Pengarah JAIPk Zakaria Abd. Razak berkata siasatan telah dijalankan oleh Pejabat Pentadbiran Agama Islam Parit Buntar dan segala dapatan diserahkan kepada Bahagian Pengurusan Masjid JAIPk.

"Mesyuarat Jawatankuasa Tatatertib itu akan memutuskan sebarang tindakan lanjut selaras dengan Peraturan-Peraturan Pegawai Masjid Negeri Perak 2018.

"Pegawai masjid harus menghormati pihak berkuasa agama kerana JAIPk bertanggungjawab menentukan kandungan khutbah yang sesuai. Oleh itu, pegawai masjid perlu menunaikan amanah dengan baik dan mengikuti peraturan sedia ada," katanya menerusi kenyataan kepada Bernama di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zakaria berkata pihaknya mengingatkan semua pegawai masjid di negeri ini supaya mematuhi segala peraturan ditetapkan bagi memastikan tidak berlaku sebarang perkara negatif.

Sebelum ini, polis menyerahkan siasatan kes khatib tidak membacakan khutbah Jumaat disediakan pihak berkuasa agama negeri kepada JAIPk untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Polis Perak DCP Zulkafli Sariaat berkata pihaknya merakam keterangan dua individu yang tampil membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.

-- BERNAMA