Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pegawai penyiasat telah merakam percakapan sembilan individu antaranya pengadu, pengarah dan kakitangan syarikat berkenaan.
"Kita telah menerima sejumlah 190 laporan melibatkan nilai kerugian RM3,978,692 berkaitan syarikat berkenaan sejak Januari sehingga Selasa.
"Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Ahad, Ramli dilaporkan berkata, semakan mendapati syarikat pengendali umrah itu berdaftar dan dilesenkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menjalankan aktiviti umrah dari tahun 2023 sehingga Mac 2027.
Susulan itu sebahagian laporan polis turut dirujuk kepada pihak MOTAC sebagai agensi penguat kuasa yang bertanggungjawab melaksanakan tindakan di bawah Akta Industri Pelancongan 1992.
Siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan tetap diteruskan walaupun sebahagian laporan polis ini dirujuk kepada MOTAC.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan pasangan berusia 31 tahun yang merupakan pemilik dan pengarah urusan syarikat pengendali umrah ditahan JSJK kira-kira jam 7 petang di Kuala Lumpur, Januari lalu.
Terdahulu, kecoh di media sosial apabila kira-kira lebih 300 jemaah umrah terkandas apabila mereka dijanjikan untuk diterbangkan ke tanah suci namun ditunda syarikat pengendali umrah.
Berikutan itu, Pengarah Urusan syarikat umrah terbabit kemudiannya membuat permohonan maaf secara terbuka berikutan insiden itu dan menawarkan tiga penyelesaian termasuk pemulangan 100 peratus pengembalian wang jemaah. - Sinar Harian
