Menteri berkenaan Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata agensi di bawahnya seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memperhebat usaha dakwah kefahaman Islam dan pengukuhan akidah.
Beliau berkata JAKIM turut aktif bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara untuk menganjurkan program Dialog Harmoni yang mempromosikan perpaduan dalam negara.
"Pada masa sama, platform Mesyuarat Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama akan digunakan untuk memperkukuh keharmonian dan interaksi antara umat Islam dan masyarakat bukan Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjunjung titah Sultan Sharafuddin berkaitan isu cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri perayaan orang bukan Islam.
Semalam, Sultan Sharafuddin menzahirkan pendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan kepada umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam.
Baginda mengingatkan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, memerlukan toleransi dalam beragama yang tidak seharusnya dikompromi.
Selaku Ketua Agama Islam di Selangor, baginda berpandangan cadangan garis panduan itu dibuat pada waktu yang tidak bersesuaian iaitu ketika rakyat sedang giat mengeratkan amalan muhibah pelbagai kaum dan agama demi mengukuhkan perpaduan nasional.
Sultan Sharafuddin turut menasihati umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa berusaha memperkukuh akidah dan iman masing-masing serta mengingatkan setiap rakyat supaya menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)