Ringkasan AI
- PLUS Malaysia Bhd akan melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) secara persendirian selepas Perjanjian Pelantikan dengan Central Tolling Company berakhir pada 16 Disember 2024.
- Kementerian Kerja Raya komited untuk melaksanakan MLFF bagi meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya, dengan menggunakan teknologi RFID dan kamera pengesanan nombor plat automatik (ANPR).
- Rundingan antara kerajaan, syarikat konsesi lebuh raya, dan syarikat pencadang tidak mencapai persetujuan dalam tempoh tiga tahun, menyebabkan perjanjian pelantikan terbatal secara automatik.
Beliau berkata selepas Perjanjian Pelantikan (AA) Central Tolling Company (CTC) antara pihak kerajaan dan syarikat pencadang iaitu KJS-SEP JV yang berakhir pada 16 Dis 2024, pihak konsesi berhak melaksanakan MLFF mereka sendiri.
"... pihak konsesi ada hak untuk melaksanakan MLFF mereka sendiri walaupun mereka tertakluk kepada arahan dan hala tuju (MLFF) yang akan diputuskan Kabinet.
"Berkenaan kerjasama rentas kementerian, kita sememangnya perlu mendapatkan maklumat dan pandangan daripada MOT (Kementerian Pengangkutan), MOF (Kementerian Kewangan), AGC (Jabatan Peguam Negara) dan UKAS (Unit Kerjasama Awam-Swasta)," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Ahmad menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Wee Kaa Siong (BN-Ayer Hitam) berhubung perkembangan kerjasama rentas kementerian susulan ujian perintis MLFF akan dimulakan pada April depan.
Menjawab soalan asal Wee mengenai pendirian kerajaan dalam memuktamadkan hala tuju MLFF dan status terbaharu rundingan bersama syarikat konsesi lebuh raya, Ahmad berkata kementerian masih komited untuk melaksanakan sistem kutipan tol secara MLFF dalam memastikan keselesaan dan kemudahan pengguna lebuh raya.
"Justeru, pihak kementerian akan mendapatkan hala tuju baharu daripada Jemaah Menteri berkaitan kaedah pelaksanaan MLFF ini dalam tempoh terdekat.
"MLFF merupakan satu inisiatif kementerian bagi masa depan untuk sistem kutipan tol, ini sejajar dengan pelan pelaksanaan Sistem Pengangkutan Pintar Negara (ITS) dan melalui sistem itu pengguna tidak lagi perlu memberhentikan atau memperlahankan kenderaan bagi membuat bayaran tol dan seterusnya melancarkan lagi aliran trafik di kawasan plaza tol," katanya.
Beliau berkata cadangan pelaksanaan MLFF di Malaysia akan menggunakan gabungan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dan kamera pengesanan nombor plat automatik (ANPR) yang berupaya mengesan kenderaan beserta maklumat pengguna bagi tujuan pembayaran tol lebih lancar.
Selain itu, katanya reka bentuk lebuh raya baharu juga disesuaikan dengan teknologi yang telah bersedia untuk pelaksanaan sistem kutipan tol secara MLFF.
Mengulas mengenai penamatan perjanjian pelantikan itu, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menjelaskan tiga pihak utama iaitu kerajaan, 33 syarikat konsesi lebuh raya sedia ada dan syarikat pencadang tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan dalam tempoh tiga tahun sejak perjanjian itu dimeterai pada 17 Nov 2022.
Beliau berkata selepas tempoh tiga tahun tidak dapat mencapai persetujuan untuk memuktamadkan rundingan, maka secara automatik perjanjian pelantikan itu telah terbatal.
-- BERNAMA
