Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata antara bidang yang boleh mencipta pekerjaan dan seharusnya diceburi siswazah ialah keusahawanan namun kajian pihaknya menunjukkan hanya 10 daripada 100 lepasan universiti menceburi bidang itu.
"Ini cabaran yang cukup besar tapi saya fikir kita perlu pertingkatkan supaya ia (bidang keusahawanan) dapat menyediakan golongan mahasiswa ke alam pekerjaan dan dapat menjadi seorang usahawan.
"Sekarang ini saya fikir ianya mudah dengan penggunaan teknologi. Kalau dulu untuk jadi usahawan agak sukar dan memerlukan modal yang agak besar tapi sekarang ini mudah, kita boleh hasilkan pengekodan atau kandungan dengan teknologi," katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu Program Ruang Bicara terbitan Bernama TV di sini pada malam .
Beliau berkata KPT turut menyediakan dana khusus bagi permulaan perniagaan peringkat universiti selain menganjurkan pertandingan antara pelajar institut pengajian tinggi awam bagi meningkatkan tahap kreativiti mereka.
Selain itu, Mustapha berkata pihaknya juga menekankan mengenai kepentingan pemberian latihan praktikal jangka panjang kepada mahasiswa untuk menjadikan mereka kompeten dan memahami alam pekerjaan dengan lebih baik.
"Dulu kita cakap terlalu banyak teori tetapi sekarang kita mahu tekankan pemberian praktikal yang lebih banyak kepada mahasiswa kita. Apabila mereka keluar ke alam pekerjaan, mereka tidak rasa kekok dan itu yang penting.
"Kita juga ada Program 2U2i iaitu mahasiswa akan belajar dua tahun di universiti dan dua tahun di industri supaya mereka didedahkan dengan industri lebih awal," katanya.
Mustapha berkata program Industri dalam Kampus (IOC) KPT turut membantu memberikan pendedahan awal mengenai alam pekerjaan kepada mahasiswa menerusi lawatan pakar industri ke universiti.
"Kita bawa industri masuk ke dalam kampus. Ada yang buka 'test lab' di dalam kampus sendiri dan berinteraksi dengan mahasiswa tentang alam pekerjaan sebenar," katanya.
-- BERNAMA