BENTONG: Seorang pemandu treler berdepan detik cemas apabila kenderaannya mengalami masalah brek sebelum mengundur secara tiba-tiba di Kilometer (KM) 1 jalan naik arah Genting Highlands, di sini pada Khamis.


Ringkasan AI
  • Sebuah treler mengalami masalah brek dan mengundur secara tiba-tiba di KM 1 jalan naik arah Genting Highlands, namun tiada kecederaan dilaporkan.
  • Dalam kejadian berasingan, sebuah lagi treler mengalami masalah brek di KM 40.85 arah timur dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi, menyebabkan kenderaan melintang di atas jalan.
  • Kedua-dua kejadian tidak melibatkan kenderaan lain dan tiada kecederaan dilaporkan, dengan laluan dibuka semula selepas kejadian.


Ketua Polis Daerah Bentong, Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata, bagaimanapun kejadian kira-kira jam 9.15 pagi itu tidak melibatkan kenderaan lain.

Menurutnya, ketika kejadian treler itu sedang membawa muatan simen dari Batu Gajah ke Genting Highlands.

"Pemandu iaitu lelaki tempatan berusia 50 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat di bawah Peraturan 17 LN166/59," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Zaiham memberitahu sebuah treler turut mengalami masalah sama di KM 40.85 arah timur dari Genting Sempah ke Bukit Tinggi.

Ujarnya, kejadian kira-kira jam 2.35 petang itu menyebabkan kenderaan terbabit terundur ke belakang dan melintang di atas jalan.

"Kesemua lorong terhalang dan tidak libatkan kenderaan lain dan tiada sebarang kecederaan.

"Laluan dibuka sepenuhnya jam 3.15 petang," tambahnya. -Sinar Harian