Sebaliknya, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menjelaskan KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM63.48 bilion daripada penjualan saham MAHB bagi Tahun Berakhir 31 Disember 2023.
"Saham MAHB dijual pada harga antara RM6.80 hingga RM7.70 seunit, sekali gus menghasilkan pendapatan berjumlah RM102 juta untuk agihan dividen KWSP bagi tahun kewangan 2023.
"Prestasi saham MAHB yang mengatasi Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) sebanyak 11.47 peratus turut menjadi faktor utama strategi ini. Jadi tuduhan bahawa KWSP mengalami kerugian daripada penjualan ini adalah tidak berasas," katanya.
Beliau berkata demikian kepada soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) mengenai jumlah keuntungan atau kerugian yang dialami KWSP dalam transaksi pembelian dan penjualan saham MAHB di Dewan Rakyat, di sini pada Khamis.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah memberitahu, secara keseluruhan, sejak tahun 2014, jumlah pendapatan daripada dagangan aktif dan pengumpulan dividen saham MAHB mencapai nilai RM650 juta.
Beliau menjelaskan, aktiviti jual beli saham MAHB dan penswastaan MAHB yang baru dimuktamadkan pada tahun ini adalah dua pelaburan yang berbeza iaitu dari segi matlamat pelaburannya dan dari segi jabatan yang bertanggungjawab menguruskan pelaburan tersebut.
"Sehingga pengumuman Tawaran Sukarela (Voluntary General Offer, VGO) pada 15 Mei 2024 di Bursa Malaysia, aktiviti dagangan saham MAHB oleh pengurus dana saham tersenarai berjalan mengikut mandatnya untuk menjana pulangan untuk ahli-ahli KWSP," tambahnya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah memberitahu, KWSP mengekalkan tahap profesionalisme dan tadbir urus yang tinggi dalam pengurusan dengan mengamalkan protokol perintang maklumat atau dikenali sebagai Chinese Wall.
Protokol itu katanya, dapat memastikan pemisahan maklumat agar tidak berlaku sebarang percanggahan kepentingan yang boleh membawa risiko berlakunya insider trading yang merupakan satu kesalahan kenayah.
"(Justeru) Protokol perintang maklumat tidak sewajarnya diperlekehkan kerana ia merupakan langkah kawalan penting sebagai pertahanan terhadap insider trading seperti yang dinyatakan dalam Seksyen 190, Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA).
"Sekiranya KWSP menggunakan maklumat dalaman untuk membuat dagangan saham, ini boleh merosakkan integriti dan keadilan pasaran saham di Malaysia memandangkan penyertaan KWSP adalah sebanyak 38 peratus daripada keseluruhan pasaran ekuiti tersenarai domestik," jelasnya.
