Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata mangsa, seorang wanita berusia 46 tahun, membuat laporan polis selepas menyedari dirinya ditipu pada 5 Feb lepas.
Beliau berkata mangsa menerima panggilan video menerusi aplikasi WhatsApp daripada seorang lelaki berpakaian seragam polis pada 25 Jan lepas dan menuduh wanita berkenaan terlibat dalam kes penggubahan wang haram.
"Mangsa kemudiannya dihubungi seorang lagi individu yang memperkenalkan diri sebagai Inspektor polis yang menyatakan siasatan memerlukan bayaran sebanyak RM20,000.
"Selepas itu, mangsa bercakap dengan seorang lagi individu menyamar sebagai Timbalan Pendakwa Raya yang meyakinkan bahawa wang itu akan dipulangkan selepas siasatan selesai," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak di sini hari ini.
Ahmad Adnan berkata mangsa memasukkan wang tunai sebanyak RM20,000 secara berperingkat ke dalam sebuah akaun bank pada 31 Jan lepas dan mangsa diarahkan oleh suspek untuk memusnahkan bukti transaksi berkenaan.
"Setelah diberitahu bahawa kes telah 'selesai', mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk proses ikat jamin, namun mangsa tidak meneruskan pembayaran dan mula menyedari telah ditipu," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Adnan berkata seorang pesara guru turut mengalami kerugian sebanyak RM64,218 kerana terpedaya dengan taktik penipuan atas talian yang menawarkan cabutan bertuah kononnya dianjurkan sebuah bank tempatan menerusi laman sosial Facebook.
Beliau berkata wanita berusia 53 tahun itu membuat laporan polis selepas menyedari dirinya telah diperdaya oleh sindiket berkenaan pada Isnin lepas.
Seterusnya Ahmad Adnan berkata mangsa telah memasukkan maklumat peribadi dan butiran akaun bank termasuk nombor kad pengenalan, nombor akaun bank dan butiran log masuk ke aplikasi bank berkenaan.
"Setelah membuat semakan di bank, didapati wang di dalam akaun milik mangsa telah berkurangan dan pihak bank mengesan sebanyak 21 transaksi pemindahan wang ke dalam 16 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM64,218.
"Pihak bank telah mengambil tindakan segera membekukan akaun bagi mengelakkan lebih banyak kehilangan wang," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)