Kementerian Agama Republik Indonesia menetapkan 1 Ramadan 1446 Hijrah jatuh pada Sabtu, 1 Mac 2025, hasil sidang penetapan yang diadakan di Jakarta pada Jumaat.

Keputusan itu diumumkan Menteri Agama RI, Nasaruddin Umar, selepas sesi sidang penetapan yang melibatkan Tim Hisab dan Rukyat Kemenag, Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG), Badan Riset dan Inovasi Nasional (BRIN) serta wakil-wakil pertubuhan Islam.

Menurut laporan Kompas.com, penetapan itu dibuat berdasarkan cerapan rukyatul hilal di 125 lokasi di seluruh Indonesia dan seiring dengan keputusan Pengurus Pusat Muhammadiyah yang menggunakan kaedah Kalender Hijriah Global Tunggal (KHGT).

Dalam pada itu, masyarakat Islam di Wakal, Kecamatan Leihitu, Kabupaten Maluku Tengah, Provinsi Maluku mula berpuasa lebih awal iaitu pada Khamis, 27 Februari 2025.

Mereka menunaikan solat tarawih berjemaah di Masjid Nurul Awal pada malam sebelumnya. Negeri Wakal menjadi kawasan pertama di Provinsi Maluku yang memulakan ibadah puasa tahun ini.

Sementara itu, di Malaysia, umat Islam akan mula berpuasa pada Ahad, 2 Mac 2025 seperti yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad.

Tarikh permulaan Ramadan di Malaysia ditentukan berdasarkan kaedah Rukyah dan Hisab yang dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja.