KUALA LUMPUR: Meskipun sibuk membuat persiapan bagi sesi persekolahan anak-anak yang akan bermula esok, ibu bapa khususnya umat Islam turut memanfaatkan kesempatan cuti hari minggu untuk membuat persediaan akhir menjelang Ramadan.
Tinjauan Bernama di beberapa lokasi tumpuan mendapati, orang ramai berkunjung ke pasar raya dan pusat beli-belah untuk membeli barangan keperluan asas termasuk barangan basah, selain kelihatan khemah mula dipasang di tapak-tapak bazar Ramadan untuk aktiviti perniagaan.
Di ibu negara, seorang guru taska Nora Zulkifli, 31, berkata persediaan membeli barangan dapur menjelang Ramadan tahun ini perlu mengambil kira faktor cuaca panas yang sedang melanda negara ketika ini.
"Saya mula membeli barangan dapur hari ini kerana tidak mahu berpanas dengan anak-anak ketika bulan puasa nanti, anak-anak pun masih kecil ... saya risau sekiranya mereka jatuh sakit atau terkena strok haba.
"Dalam masa sama, saya pastikan juga kena ada simpanan (makanan) untuk anak-anak sekiranya mereka tidak mampu berpuasa," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya di Ampang dekat sini hari ini.
Beberapa lokasi di sekitar Kampung Pandan dan Kampung Baru yang kebiasaannya menjadi tapak bazar Ramadan juga sudah mula sibuk dengan para peniaga memasang khemah masing-masing.
Di SELANGOR, tinjauan Bernama di sekitar bandar raya Shah Alam mendapati banyak reruai jualan bazar Ramadan sudah didirikan di sekitar Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
Pekerja swasta Haryani Mamat, 47, yang ditemui di kompleks itu berkata telah menjadi rutin baginya untuk membeli-belah di sana khususnya bagi membeli keperluan menyambut Ramadan kerana boleh dikatakan hampir semua barangan seperti kurma termasuk kuih-kuih tempatan ada dijual di situ.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Ahmad Fadhil Hassan ketika ditemui pada Program Simbolik Bantuan Zakat dan Hari Raya LZS 2024 berkata pihaknya telah melantik 2,778 Penolong Amil Fitrah (PAF) bagi memudahkan umat Islam menunaikan zakat di masjid-masjid serta pasar raya di Selangor.
Katanya, LZS juga akan membuka 18 cawangan di seluruh negeri selama tujuh hari seminggu termasuk cuti umum sepanjang Ramadan ini dan waktu urusan pada hari bekerja bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang, manakala pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, cawangan LZS akan dibuka bermula 9 pagi hingga 3 petang.
Di NEGERI SEMBILAN, aktiviti mantai dan membakar lemang yang menjadi tradisi masyarakat di sini bagi menyambut kedatangan Ramadan, diteruskan tahun ini.
Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar, 33, berkata tradisi membeli daging mantai setiap kali menjelang Ramadan bukan lagi sekadar persiapan menjelang bulan puasa, tetapi ia juga mengimbau kenangan semasa zaman kecil dahulu.
"Menjadi kebiasaan setiap kali nak sambut Ramadan, saya akan membeli daging, aktiviti mantai ini memang mengimbau zaman kanak-kanak saya dahulu. Seronok apabila dapat tengok orang kampung mulakan aktiviti mantai, jadi teruja nak sambut puasa," katanya.
Di PERAK, Masjid India Muslim Ipoh, Jalan Seenivasagam akan meneruskan tradisi tahunannya menyediakan bubur lambuk sepanjang bulan Ramadan untuk diagihkan kepada orang ramai sebagai juadah berbuka puasa.
Uniknya, masjid ini ialah satu-satunya yang menyediakan bubur lambuk daging kambing yang dimasak dengan lebih 16 rempah-ratus dan mengekalkan resipinya sejak 80 tahun lepas.
Setiausaha Masjid India Muslim Ipoh Sirrazuthin Mohamed Meerasa berkata pihak masjid akan menyediakan bubur lambuk setiap hari sama ada bubur nasi atau bubur lambuk kambing yang dimasak secara berselang sehari.
"Hari pertama Ramadan nanti kita akan mula memasak seawal 8 pagi di ruangan dapur masjid dan akan siap menjelang 1 tengah hari untuk dibungkus serta diedarkan kepada orang ramai. Agihan bubur lambuk akan dibuat bermula pukul 4.30 petang setiap hari," katanya.
Di PAHANG, pasar tani UTC Kuantan di Jalan Tun Ismail kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) antara yang menjadi tumpuan umat Islam membeli pelbagai barangan keperluan mereka.
Ahli Parlimen Bentong merangkap Ahli Lembaga Pengarah FAMA Young Syefura Othman berkata pasar tani berkenaan menjadi platform kepada orang ramai untuk mendapatkan barangan segar dengan harga berpatutan daripada peniaga tempatan.
"Antara yang menjadi tumpuan ialah bahan mentah seperti ayam dan daging ... dari awal lagi pengunjung memang ramai ke sini untuk membeli pelbagai barangan antara lain sebagai persiapan Ramadan," katanya.
Di PERLIS, tinjauan pada Jualan Agro MADANI Pra-Ramadan yang berlangsung di Dataran MAIPs, Kangar hari ini mendapati rata-rata pengunjung datang membeli barangan keperluan dapur mereka seawal pukul 8 pagi.
Pengunjung berasal dari Kangar, Habibah Sabu, 52, yang merupakan seorang suri rumah berkata dia datang membeli barangan keperluan pada Jualan Agro MADANI itu kerana boleh mendapat barangan pada harga murah.
"Alhamdulillah, ada Jualan Agro MADANI di sini, boleh beli barangan keperluan untuk Ramadan dengan harga yang murah, untuk tahun ini, Ramadan sangat bermakna kerana anak saya dapat berpuasa bersama keluarga, sebelum ini dia belajar di universiti, sekarang dah habis belajar dapatlah kami berbuka bersama-sama," katanya.
-- BERNAMA
Bernama
Sun Mar 10 2024

Khemah bazar dipasang ketika tinjauan fotoBernama di Tapak Bazar Ramadan Desa Pandan hari ini. -Bernama

Bekas ahli perniagaan warga China rugi RM4.2 juta terpedaya Macau Scam
Seorang bekas ahli perniagaan warga China kerugian RM4.2 juta selepas terpedaya dengan sindiket penipuan macau scam yang mendakwa sebagai pegawai polis.

Sembilan projek jambatan di Sarawak siap tahun ini - Timbalan Premier
Sembilan lagi projek pembinaan jambatan yang giat dilaksanakan di Sarawak dijangka siap dalam tahun ini, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Pemilihan PKR: Proses berjalan lancar, persiapan teratur - Fuziah
Persiapan bagi keseluruhan proses pemilihan jawatan PKR yang akan diadakan secara berperingkat bermula April hingga Mei depan berjalan lancar setakat ini, kata Setiausaha Agung PKR Fuziah Salleh.
Fokus Minggu Depan: Keselamatan makanan anak-anak sekolah
Ikuti ulasan Dr Nur Aqilah Amalina binti Jaafar, Pensyarah Jab. Pengurusan Sumber dan Pengajian Pengguna, Fakulti Ekologi Manusia, UPM berkenaan dengan keselamatan makanan anak-anak sekolah.

Korea Selatan bantah tuntutan Jepun ke atas pulau kecil Dokdo
Korea Selatan pada Sabtu membantah tuntutan berulang kali Jepun terhadap pulau kecil yang terletak di tengah-tengah antara kedua-dua negara, dikenali sebagai Dokdo oleh Korea Selatan dan Takeshima ole
Hamas akan bebaskan enam tebusan warga Israel
Mereka merupakan enam tebusan terakhir yang masih hidup daripada sekumpulan 33 yang akan dibebaskan pada peringkat pertama perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui bulan lalu.

PRN Sabah: Gerakan sudah bersedia, kenal pasti tiga kawasan
Parti Gerakan telah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang dan sudah mengenal pasti tiga kawasan untuk bertanding.
Tiada masalah bekalan santan di Sarawak
Sarawak tidak berhadapan masalah bekalan santan sepanjang bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Aspek keselamatan stesen tren untuk OKU dikaji semula- Anthony
Kementerian Pengangkutan mengarahkan supaya aspek keselamatan di semua stesen tren, khususnya kemudahan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU), dikaji semula dan dipertingkatkan.

Sarawak belanja RM6 bilion hingga 2030 laksana projek air
Sarawak akan membelanjakan kira-kira RM6 bilion hingga 2030 untuk melaksanakan projek bekalan air ke kawasan luar bandar.

Umat Islam manfaat cuti hari minggu buat persiapan akhir sambut Ramadan
Tinjauan di beberapa lokasi tumpuan mendapati, orang ramai berkunjung ke pasar raya dan pusat beli-belah untuk membeli barangan keperluan asas.