KUALA LUMPUR: Susulan keputusan Majlis Kerja Tertinggi UMNO untuk menarik sokongan daripada Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin awal hari ini, pelbagai pandangan mula timbul tentang situasi yang bakal berlaku.
Terdahulu, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai selaras dengan Fasal 3.3 Perlembagaan UMNO, selepas mendakwa Kerajaan PN gagal di mata rakyat dan sengaja menyanggah dan ingkar terhadap Titah Yang di-Pertuan Agong.
Fasal itu berbunyi: “Mendukung asas-asas Perlembagaan Persekutuan selagi mana ia membela Kepentingan Raja-raja Melayu, Bangsa Melayu, Bumiputera, Anak Negeri Sabah dan Orang Asli serta lain-lain perkara sebagaimana yang termaktub di dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, Prinsip Kontrak Sosial dan Undang-Undang Tubuh Negeri-Negeri di Malaysia”.
Berdasarkan pandangan beberapa pakar Perlembagaan serta pemerhati politik, ini kemungkinan yang berlaku selepas ini.
Status Perdana Menteri
Berdasarkan kenyataan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun pada 8 Julai lepas, Muhyiddin dan Jemaah Menteri masih mempunyai kuasa eksekutif Persekutuan.
Berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, beliau berkata penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri dan bukan melalui kenyataan sesuatu parti politik ataupun mana-mana pemimpin parti politik.
Perkara 43(2)(a) berbunyi: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu; dan”
Perkara 43(2)(b) berbunyi: “atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Menteri-Menteri lain daripada kalangan ahli mana-mana satu Majlis Parlimen;
“..tetapi jika sesuatu pelantikan dibuat semasa Parlimen terbubar, seseorang yang menjadi ahli Dewan Rakyat yang lepas boleh dilantik tetapi tidak boleh terus memegang jawatan selepas permulaan penggal Parlimen yang berikutnya melainkan..,”
”..jika dia telah dilantik menjadi Perdana Menteri, dia ialah ahli Dewan Rakyat yang baru itu, dan dalam apa-apa hal lain, dia ialah ahli sama ada bagi Dewan Rakyat atau Dewan Negara”.
Selain itu, jika ia telah terbukti dengan jelas bahawa Perdana Menteri telah hilang majoriti dalam Dewan Rakyat, maka beliau mempunyai dua pilihan berdasarkan Perkara 43(4) Pelembagaan Persekutuan iaitu: -
1) meletak jawatan Jemaah Menteri,
2) atau meminta Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Parlimen.
Perkara 43(4) berbunyi: “Jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong”.
Parlimen bubar
Sekiranya Perdana Menteri memilih untuk menghadap perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi membubarkan Parlimen maka Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menetapkan tarikh bagi Pilihan Raya Umum dalam tempoh 60 hari.
Bagaimanapun, berdasarkan Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berhak untuk tidak mengikuti nasihat tersebut.
Perkara 40 berbunyi: “Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut”.
Perkara 40(2)(b) berbunyi: “tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen”.
Agong tidak bubar Parlimen
Sekiranya Yang di-Pertuan Agong memilih untuk tidak membubarkan Parlimen atas faktor-faktor tertentu, misalnya mengambil kira keadaan yang berisiko tinggi susulan penularan COVID-19, berkemungkinan besar Tuanku boleh memperkenankan pelantikan Perdana Menteri sementara atau interim.
Selain itu, Tuanku juga boleh memperkenankan penubuhan Kerajaan Sementara (Kerajaan Interim) atau entiti seperti Majlis Gerakan Negara atau (MAGERAN)
.
Namun, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, beliau pernah membawa cadangan itu kepada Yang di-Pertuan Agong pada Jun lepas, namun Agong menzahirkan pandangan bahawa cadangan itu perlu dibawa oleh pihak Kerajaan sendiri.
Pakar Perlembagaan Datuk Shamrahayu Abdul Aziz juga pernah mempersoalkan tentang justifikasi menggantung Jemaah Menteri sedia ada, serta punca kuasa mana yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong membentuk atau memperkenankan penubuhan MAGERAN atau Kabinet Khas Darurat.
LAPOR LANGSUNG: MKT UMNO tarik sokongan, Muhyiddin perlu berundur - Ahmad Zahid
Kerajaan Perpaduan?
Dr Mahathir juga pernah mencadangkan agar ditubuhkan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan penyertaan minimum semua pihak bagi menyelesaikan kemelut politik sedia ada.
Namun, beberapa pihak berpendapat, tokoh atau ahli politik yang mungkin boleh mengetuai Kerajaan Perpaduan haruslah seorang individu yang berkelayakan, dan mendapat kepercayaan serta rasa hormat dari semua pihak.
Perdana Menteri letak jawatan?
Berbalik kepada Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan seperti yang dinyatakan di atas, Perdana Menteri boleh memilih untuk melepaskan jawatannya, dan menyerahkan soal pelantikan Ketua Kerajaan Baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.
Namun, situasi politik ketika ini sedikit merumitkan, memandangkan tidak ada pihak yang mempunyai bukti jelas mereka mempunyai sokongan majoriti yang diperlukan, iaitu 111 daripada 220 Ahli Parlimen yang ada.
Untuk rekod, Dewan Rakyat mempunyai 222 kerusi, namun dua Ahli Parlimen sudah meninggal dunia iaitu Datuk VK Liew (Batu Sapi) dan Datuk Hasbullah Osman (Gerik).
Jika tiada pihak mempunyai majoriti yang jelas dan Pilihan Raya Umum (PRU) tidak sesuai untuk diadakan, maka di sinilah akan bermula percaturan politik bagi mendapatkan sokongan yang mencukupi.
Berkemungkinan apa yang terjadi pada 2020 akan kembali berulang, iaitu wakil parti-parti politik akan bertemu dan menzahirkan sokongan masing-masing bagi membolehkan seseorang Ahli Parlimen mendapat jumlah yang mencukupi untuk menjadi Perdana Menteri.
Sokongan itu, perlu ditentukan oleh Yang di-Pertuan Agong sendiri, melalui beberapa cara, sama ada berjumpa seorang demi seorang Ahli Dewan Rakyat untuk mengetahui siapa yang mereka pilih.
Atau, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kebijaksanaan Tuanku untuk menentukan jumlah sokongan melalui akuan bersumpah (SD).
Sekali lagi, ini adalah berdasarkan Perkara 43(2) yang berbunyi: "Yang di-Pertuan Agong hendaklah terlebih dahulu melantik sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu;”.
Dan sekiranya jumlah sokongan itu masih tidak mencukupi, pakar perundangan berpandangan Agong boleh menggunakan peruntukan yang sama berdasarkan kebijaksanaan Tuanku untuk melantik Perdana Menteri yang baharu.
Berapa lama PM Interim boleh bertahan?
Pakar Perlembagaan, Profesor Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod bahawa peristiwa pertukaran kerajaan pada tahun lepas mungkin berulang kembali.
Namun beliau berkata, Kerajaan sementara atau Perdana Menteri Interim adalah seperti sifatnya, iaitu hanya bersifat sementara, melainkan individu itu berjaya mendapatkan sokongan majoriti secara sah dalam Dewan Rakyat.
"Saya setuju dgn pandangan bahawa kemungkinan jika tiada seorang yang pada hemat Yang di-Pertuan Agong mungkin mendapat kepercayaan majoriti, Baginda akan memanggil setiap Ahli Dewan Rakyat seperti yang berlaku pada bulan Februari tahun lepas.
"Kerajaan sementara atau PM interim hanya untuk memastikan kerajaan berjalan lancar dan ada tampuk pemerintahan dalam suasana sekarang. Berapa lama kerajaan begini sukar hendak diramalkan. Kecuali dalam masa terdekat selepas melantik kerajaan interim, seorang PM dapat ditemui," tambahnya.
Firdaus Azil
Tue Aug 03 2021

Berdasarkan pandangan beberapa pakar perlembagaan serta pemerhati politik, ini kemungkinan yang berlaku selepas ini. - Gambar fail
Dividen KWSP dijangka lebih baik bagi tahun 2024 - Amir Hamzah
Prestasi memberangsangkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada suku ketiga tahun lepas dijangka memberi pulangan yang baik dari segi dividen kepada pencarumnya
Jenazah ADUN Ayer Kuning selamat dikebumikan
Jenazah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Rapat Setia, Ipoh pada 10.40 pagi ini
Guru tuisyen ditemukan maut dengan kesan kelar di leher, lengan
Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh Supt Mohamad Sajidan Abdul Sukor berkata pengadu yang merupakan suami kepada wanita itu, membuat laporan polis berkenaan kejadian itu kira-kira 5.30 petang.
Notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning dihantar seawal Selasa - Speaker
Speaker DUN Perak akan menghantar pemakluman notis kekosongan kerusi DUN Ayer Kuning seawal Selasa
Yellow House rasmi pembukaan premis baharu
Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Yellow House merasmikan pembukaan premisnya yang dinaik taraf di Kampung Ampang Campuran pada Sabtu.
Polis ditembak mati lelaki bersenjata di Amerika syarikat
Tindakan suspek dipercayai berpunca daripada tindak balas mangsa yang cuba mententeramkan suspek yang sebelum itu menjadikan beberapa kakitangan sebagai tebusan di sebuah hospital.
China kesan satu lagi varian baharu koronavirus
Penyelidik di Institut Virologi di China, di sini telah mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2 yang disyaki berpotensi untuk merebak melalui manusia.
Kanak-kanak lapan tahun maut selepas bot terbalik di Panama
Menurut perkhidmatan sempadan kebangsaan Panama (Senafront), sebelum insiden, bot membawa 21 orang penumpang tersebut meneruskan perjalanan meskipun amaran cuaca buruk telah dikeluarkan.

Enam maut, bumbung pusat beli-belah runtuh di Peru
Pihak berkuasa menjelaskan bahawa struktur yang runtuh bukan sekadar kanopi ringan, sebaliknya merupakan binaan kukuh yang jatuh tepat di kawasan taman permainan kanak-kanak dalam medan selera.
AWANI Ringkas: 12 termasuk kanak-kanak, bayi terperangkap dalam lif
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.

‘Pemimpin 33 bulan dahulu hanya tahu kritik, masalah tak selesai’ - PM
Kerajaan MADANI tidak akan meminggirkan mana-mana kaum dalam soal kesejahteraan hidup, terutamanya golongan miskin dan kurang berkemampuan.

Kerajaan sentiasa kenal pasti ikhtiar baharu pastikan Malaysia destinasi pelaburan - PM Anwar
Kerajaan sentiasa mengenal pasti ikhtiar baharu untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik dan berdaya saing, kata Perdana Menteri.

PM arah siasatan polis terhadap peserta himpunan mahasiswa, SOSMA dihentikan
Kerajaan mengarahkan siasatan polis terhadap mahasiswa yang terbabit dalam Himpunan Rakyat Bebas Rasuah pada 25 Januari lalu dihentikan serta-merta.

Terapkan semangat pemakaian kain sarung dalam usaha perkukuh persahabatan kaum - PM
Anwar menggesa seluruh rakyat supaya jangan sekali-sekali mengizinkan mana-mana pihak untuk merosakkan keamanan negara.

Terus julang sikap saling mengasihi, menghormati dalam memacu negara - PM Anwar
Roh ihsan yang sentiasa menekankan tentang kepentingan mengasihi, menghormati dan menghargai sesama warga nusa dan bangsa perlu terus dijulang dalam memacu pembangunan negara bersama-sama.

PM Anwar perkukuhkan kerjasama ekonomi Malaysia di Davos
Datuk Seri Anwar Ibrahim memulakan lawatan kerja rasmi ke Davos, di sini dengan mengadakan beberapa mesyuarat perniagaan bersama syarikat multinasional.

PM setuju draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan - Jemilah
Perdana Menteri Anwar telah memberi persetujuan kepada draf Pelan Tindakan Kesihatan Planet Kebangsaan sebagai langkah konkrit menangani isu-isu alam sekitar global.

Malaysia perlu adaptif, berdaya tahan dalam ketidaktentuan global - PM
Malaysia perlu bersifat adaptif, berdaya tahan, berprinsip, dan mempunyai pandangan yang jelas untuk memposisikan negara di tengah-tengah arus ketidaktentuan global.

PM Perancis Francois Bayrou terselamat undi tidak percaya
Ahli Parlimen Perancis pada Khamis mengundi menolak usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Perancis Francois Bayrou, lapor Xinhua.

Malaysia harap gencatan senjata di Gaza berterusan - PM
Malaysia berharap perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Hamas di Gaza dapat diteruskan dalam usaha mengelakkan kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa rakyat Palestin.