KUALA LUMPUR: UMNO tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan sejumlah besar wang tunai dan jongkong emas di rumah individu yang terkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Ringkasan AI
  • UMNO menegaskan bahawa mereka tidak mempunyai kaitan dengan penemuan wang tunai dan jongkong emas di rumah individu terkait dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, menyatakan bahawa pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil.
  • Ismail Sabri akan dipanggil oleh SPRM untuk memberikan keterangan sebagai suspek berhubung penemuan wang tunai dan jongkong emas tersebut.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, pimpinan parti memandang serius sebarang cubaan mengaitkan UMNO dengan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Tambahnya lagi, pihak berkuasa perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan.

“UMNO menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut, dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil.

“UMNO juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa parti ini mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat,” katanya lagi.

Terdahulu media melaporkan penemuan wang tunai RM170 juta dengan pelbagai mata wang serta jongkong emas di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan 'safe house' oleh pembantu kepada bekas Perdana Menteri berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, barang rampasan itu ditemui di tiga peti besi kediaman terbabit.

Susulan penemuan tersebut, Azam berkata, Ismail Sabri akan dipanggil untuk dirakam keterangan sebagai seorang suspek, bukan saksi.

“Dalam hal ini, saya boleh katakan beliau adalah seorang suspek. Ini kerana beliau telah diarah membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.

“Kedua, bila terjumpa wang-wang ini, beliau (Ismail Sabri) antara yang dikaitkan, jadi kita perlu dapatkan penjelasan daripada beliau mengenai penemuan wang ini,” katanya kepada sidang media pada Isnin lepas

SPRM memberitahu, pada 11 Disember lalu, Ismail Sabri diarah mengisytiharkan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan arahan itu dipatuhi pada 10 Februari lalu.

Tambahnya lagi, siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.