Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tumpuan diberikan kerana setiap perusahaan bersaiz sederhana mampu menghasilkan nilai ditambah RM8.5 juta, berbanding hanya RM0.9 juta bagi perusahaan bersaiz kecil dan RM0.2 juta bagi perusahaan mikro.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK) berkata empat inisiatif utama Strategi Penskalaan PKS dalam tempoh RMK-13, iaitu pada 2026-2030, dibentangkan SME Corp Malaysia.
Ahmad Zahid berkata inisiatif digariskan ialah mengenal pasti sekurang-kurangnya 500 firma untuk menyertai program bersasar serta memperkukuh program dan dasar pembangunan PKS sedia ada bagi menyokong inisiatif penskalaan.
Selain itu, kerajaan juga akan memastikan penglibatan aktif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan SME Corp Malaysia dalam rundingan kerjasama berkaitan perjanjian dan pakatan antarabangsa serta memantapkan kerjasama dengan agensi berkaitan pensijilan Halal.
Ahmad Zahid berkata demikian menerusi kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Sekretariat MPUPK hari ini.
Beliau berkata dalam mesyuarat itu, Suruhanjaya Sekuriti (SC) turut berkongsi berkenaan ekosistem pembiayaan alternatif yang terdiri daripada pendanaan awam ekuiti (ECF), pembiayaan peer-to-peer (P2P), modal teroka (VC) dan ekuiti awam yang merangkumi 58 peratus daripada sumber pengumpulan dana dalam pasaran modal pada tahun lepas.
"SC turut memaklumkan berkaitan pelan hala tuju untuk meningkatkan pengumpulan dana pasaran modal kepada RM40 bilion pada 2028 bagi menyokong 28,000 PMKS dan syarikat peringkat pertengahan," katanya.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)