Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata sektor berkenaan masih berdepan dengan cabaran besar iaitu kebergantungan tinggi kepada tenaga kerja asing serta kurangnya penyertaan tenaga kerja tempatan khususnya dalam kalangan belia.
"Sekiranya kita berdepan dengan pandemik COVID-19 seperti sebelum ini, krisis ini menyebabkan kerugian RM20 hingga RM30 bilion kepada industri sawit akibat sekatan pergerakan yang menghalang kemasukan tenaga kerja asing.
"Kita kena tengok penyelesaian jangka panjang, sebab itu kalau kita tengok banyak negara maju, mereka sangat efisien dan tidak terlalu bergantung kepada pekerja asing," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Konvokesyen IMPAC ke-9 melibatkan 458 graduan di sini hari ini.
Bagi industri huluan sawit secara khusus, pekerja tempatan hanya merangkumi kira-kira 24 peratus daripada jumlah pekerja manakala pekerja asing mewakili 76 peratus daripada semua pekerja.
Johari turut mencadangkan agar satu rangkaian alumni dibangunkan bagi memantau status pekerjaan graduan IMPAC sama ada mereka telah diterima dalam pasaran pekerjaan berkaitan atau masih menganggur.
"Kalau (graduan) tak ada kerja, maklum kepada IMPAC jadi kita akan ambil profil ini untuk diserahkan kepada pihak industri yang memohon pekerja asing. Kalau pihak industri nak minta pekerja asing, saya tidak akan luluskan kalau mereka tidak ambil budak-budak (graduan tempatan) ini bekerja.
"Pekerjaan untuk 3D (kotor, bahaya dan sukar) yang kita akan bagi kepada pekerja asing, tapi pekerjaan melibatkan automasi, kecerdasan buatan (AI), penjenteraan, semua ini mereka (graduan tempatan) boleh, tapi perlu diberi latihan di lapangan," katanya.
Terdahulu dalam ucapannya, Johari berkata IMPAC memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi sektor agrikomoditi dengan menawarkan pelbagai kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang menjamin peluang pekerjaan.
"Pembangunan modal insan dalam sektor perladangan dan komoditi adalah kunci kepada kelangsungan dan daya saing industri ini. Melalui pendidikan dan latihan TVET yang responsif, inklusif, dan fleksibel, kita mampu melahirkan tenaga kerja mahir dan pemimpin masa hadapan yang mampu membawa inovasi kepada negara, khususnya dalam sektor yang bernilai tinggi ini," kata Johari.
IMPAC merupakan institusi induk di bawah Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) yang berperanan menerajui serta memantau kursus dan program latihan kemahiran pusat latihan agensi di bawah satu organisasi.
-- BERNAMA
