Ringkasan AI
- Kerajaan negeri Melaka akan menyediakan 2,000 vaksin influenza secara percuma kepada golongan berisiko, terutama warga emas, bermula Selasa.
- Vaksin akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, obesiti, kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang kronik, atau penyakit paru-paru kronik.
- Golongan yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat temu janji melalui aplikasi MySejahtera, dan slot temu janji akan diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan di negeri ini.
Exco Kesihatan, Perpaduan dan Sumber Manusia, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, meskipun jumlah itu tidak mencukupi, namun kerajaan negeri menghargai usaha kerajaan memberi kemudahan vaksinasi ini kepada warga Melaka yang memerlukan.
Menurutnya, vaksin terbabit akan diberikan kepada individu berusia 60 tahun dan ke atas yang mempunyai sekurang-kurangnya satu penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi, penyakit jantung, obesiti, kolesterol tinggi, penyakit buah pinggang kronik atau penyakit paru-paru kronik.
"Langkah itu sebahagian daripada inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melindungi golongan berisiko tinggi daripada komplikasi serius.
"Ini termasuk akibat jangkitan influenza seperti radang paru-paru (pneumonia), sepsis dan kegagalan organ," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Jelasnya, pemberian vaksin influenza terbukti selamat dan berkesan dalam mencegah jangkitan serta komplikasi serius di samping mengurangkan kadar kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan warga emas.
Ujarnya, golongan yang menepati kriteria boleh mendapatkan vaksin influenza secara percuma dengan membuat temu janji melalui aplikasi MySejahtera.
"Slot temu janji akan diberikan berdasarkan ketersediaan vaksin di semua klinik kesihatan di negeri ini," katanya lagi.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Jaya menyarankan supaya warga emas yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi mengambil peluang ini dengan kadar segera kerana jumlah dos yang tersedia adalah terhad.
"Kami menggalakkan mereka yang layak untuk segera mendapatkan vaksin influenza bagi melindungi diri sendiri serta orang tersayang daripada risiko jangkitan yang boleh membawa kepada komplikasi serius," ujarnya lagi. -Sinar Harian
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)