Ringkasan AI
- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjelaskan bahawa pesakit warga emas yang tular di media sosial telah hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma dan dikategorikan sebagai Zon Hijau (tidak kritikal), disarankan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
- Keluarga pesakit memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL dan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta. Video tular tersebut bukan dirakam oleh ahli keluarga pesakit.
- JKNS menekankan pentingnya mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih. Sebarang aduan berkaitan perkhidmatan kesihatan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KKM.
Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman berkata, pihaknya mengambil maklum dengan video yang ditularkan di media sosial pada 6 Februari lalu.
"JKNS telah menjalankan siasatan dalaman dan mengesahkan pesakit tersebut telah hadir ke Unit Kecemasan dan Trauma sekitar jam 9 hingga 10 pagi, dengan diiringi ahli keluarga.
"Setelah melalui proses pemeriksaan dan penilaian klinikal, pesakit tersebut dikategorikan sebagai Zon Hijau (tidak kritikal) dan disarankan untuk mendapatkan rawatan di Jabatan Pesakit Luar (JPL).
"Keluarga pesakit telah diberikan penjelasan mengenai prosedur rawatan di JPL termasuk proses pendaftaran dan penggiliran sebelum diberikan rawatan lanjut, namun mereka memilih untuk tidak meneruskan pendaftaran di JPL dan mendapatkan rawatan di fasiliti swasta," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya lagi, pihak Hospital Kota Marudu menyedari video tular tersebut sekitar jam 11 pagi pada hari yang sama dan segera menghubungi keluarga pesakit.
"Keluarga pesakit memaklumkan bahawa individu yang merakam dan menularkan video tersebut bukan dalam kalangan mereka dan tidak dikenali.
"Susulan penjelasan yang diberikan, pentadbir laman media sosial yang menyiarkan video tersebut telah menurunkan video itu di atas permintaan keluarga pesakit.
"Pengarah hospital turut berhubung dengan keluarga dan menzahirkan keprihatinan serta memberi jaminan bahawa pesakit boleh hadir semula sekiranya masih memerlukan rawatan," katanya.
Maria berkata, JKNS sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara tersebut dan berusaha untuk memberi perkhidmatan yang terbaik kepada orang awam yang hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan untuk mendapatkan rawatan.
"Sistem triage atau penilaian tahap kecemasan atau keterukan keadaan pesakit yang diamalkan di semua hospital di bawah seliaan Kementerian Kesihatan (KKM) bertujuan memastikan pesakit dengan keperluan rawatan segera diberikan keutamaan dan perhatian sewajarnya.
"Sebagai langkah penambahbaikan, JKNS akan terus memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan triage, mempertingkatkan kesedaran masyarakat mengenai prosedur rawatan," katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, JKNS menyeru supaya orang ramai mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kekeliruan.
"Sebarang aduan berkaitan perkhidmatan kesihatan boleh disalurkan melalui saluran rasmi KKM bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil," katanya.
Sebelum ini, video berdurasi satu minit 40 saat tular di media sosial memaparkan seorang wanita warga emas terbaring dan didakwa tidak mendapat layanan ketika mendapatkan rawatan di sebuah hospital di daerah tersebut. -Sinar Harian
